Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebuah Jawatankuasa Khas ditubuhkan bagi mengkaji isu berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal undang-undang Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar, Jawatankuasa Khas ini bertanggungjawab mengkaji isu-isu berkaitan kompetensi Dewan Undangan Negeri dalam penggubalan undang-undang Islam serta bidang kuasa Mahkamah Syariah, sebagaimana yang diperuntukkan di bawah butiran 1, Senarai Negeri, Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Tun Azmi dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas tersebut dengan turut disertai oleh 10  individu lain.

“Pertikaian dalam kes tersebut menjurus kepada persoalan pertindihan undang-undang jenayah syariah dan sivil.

“Alhamdulillah, ada kesepakatan dalam mesyuarat untuk penyelesaian isu berkaitan dengan konflik antara Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil ini akan diperluaskan untuk melihat apa sahaja isu yang menjadi konflik ataupun pertindihan antara Mahkamah Syariah dan juga Mahkamah sivil. Jadi ini satu permulaan yang baik’, katanya pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam di Putrajaya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas ini merupakan salah satu usaha dan komitmen kerajaan untuk menyelesaikan isu konflik bidang kuasa antara persekutuan dengan negeri demi memartabatkan dan memperkasa perundangan syariah dan sistem kehakiman syariah di negara ini.

Antara yang dilantik menganggotai Jawatankuasa Khas itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohd Zawawi Salleh, Anggota Majlis Agama Islam Selangor Datuk Salehuddin Saidin dan Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Negeri Melaka Datuk Mohd Nadzri Abdul Rahman.

Menurutnya, Jawatankuasa Khas ini akan turut mengadakan libat urus dengan majlis agama Islam negeri-negeri bagi mendapatkan pandangan mereka dan syor-syor yang dibuat akan dikemukakan ke Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dan seterusnya mendapatkan perkenan Majlis Raja-Raja.-Berita RTM