Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Luar sedang memainkan peranan aktif dalam membantu mendesak masyarakat antarabangsa mengheret isu kekejaman Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin, berkata walaupun bukan ahli Statut Rom ICC, Malaysia masih boleh menyokong desakan masyarakat antarabangsa untuk mengheret Israel ke muka pengadilan berikutan kekejaman dilakukan terhadap rakyat Palestin.

“Peranan itu termasuk bekerjasama secara ‘ad hoc’ dengan Pejabat Pendakwa Raya ICC bagi menyokong siasatan, selain membantu dari segi menyampaikan dokumen-dokumen perundangan atau memudahkan kehadiran saksi sukarela yang boleh menyokong kes itu apabila dikemukakan di ICC nanti,” katanya dalam sesi jawab lisan pada sidang Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Noraini Idris mengenai peranan yang boleh dimainkan Malaysia dalam isu kekejaman Israel di Palestin.

Mohamad berkata, kerajaan juga telah mengemukakan kenyataan bertulis atau pandangan Malaysia yang diperlukan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kesan-kesan kekejaman Israel terhadap Palestin pada 25 Julai lalu.

“Insya-Allah, kita juga akan mengambil bahagian bagi mengemukakan penyerahan lisan untuk tampil di ICJ pada 19 Februari tahun depan.

“Ini merupakan antara komitmen jitu negara untuk memperjuangkan hak rakyat Palestin dan menyokong desakan masyarakat antarabangsa bagi mengheret Israel ke muka pengadilan,” katanya.

Israel meneruskan serangan ke atas Semenanjung Gaza pada Jumaat lalu selepas jeda kemanusiaan selama seminggu dengan Hamas tamat.

Sekurang-kurang 15,899 rakyat Palestin dilaporkan terbunuh, manakala 42,000 lagi cedera akibat serangan udara dan darat yang dilancarkan Israel. – BERNAMA