Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Di Johor, jumlah mangsa banjir kilat dari lima kampung di Johor Bahru menurun sedikit berbanding 582 orang pada 8 malam tadi kepada 565 orang 8 pagi ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan memaklumkan semua mangsa terdiri daripada 150 keluarga itu ditempatkan di PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru dan SK Bukit Mutiara.

Menurut kenyataan itu, seramai 312 orang daripada 84 keluarga dari Kampung Paya Kenangan, Kampung Pasir Tebrau dan Kampung Kangkar Tebrau ditempatkan di PPS SK Bukit Mutiara.

PPS Dewan Muafakat Kampung Cahaya Baru pula menempatkan 253 orang daripada 66 keluarga dari Kampung Sentosa Damai dan Kampung Sentosa Barat.

JPBN turut memaklumkan cuaca di sekitar Johor Bahru cerah setakat 8 pagi ini.

Sementara itu, paras air Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat berada pada paras waspada dengan bacaan 7.95m.

Di Kelantan, hujan lebat malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di tiga jajahan dinaiki air seterusnya bilangan mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 655 orang daripada 207 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 594 orang daripada 181 keluarga malam tadi.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) juga bertambah kepada lima daripada tiga malam tadi.

Di Pasir Mas, PPS SK Gual To’Deh menempatkan 226 mangsa daripada 77 keluarga dan 64 orang daripada 26 keluarga di SMK Baroh Pial.

Di Bachok, 241 mangsa daripada 66 keluarga berlindung di PPS SMK Beris Panchor dan SK Jelawat pula menempatkan 114 mangsa daripada 35 keluarga manakala di jajahan Machang PPS SK Pulai Chondong menempatkan 10 mangsa daripada tiga keluarga.