Sorting by

×

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang belum dapat ditentukan, kerana Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin belum lagi berbincang dengannya.

Fadillah berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim masih berharap Hamzah akan mengadakan perbincangan berhubung soal peruntukan itu terlebih dahulu, sebelum sebarang keputusan dapat diambil. 

“Berbincang bagaimana kita nak menjalinkan kerjasama dalam  mentadbir, menguruskan hal ehwal negara, pentadbiran kerajaan dan juga Parlimen, supaya kita dapat memastikan fokus kita ialah mengurus tadbir kerajaan ini dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri jamuan makan tengah hari dan penyampaian anugerah sempena Forum Perniagaan Muslim Global (GMBF) 2023 di sini, hari ini.

Fadillah berkata setakat ini, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sahaja yang berjumpa dengan beliau, namun Ahli Parlimen Muar bukan sebagai wakil pembangkang.

“Dia datang sebagai bebas, bukan mewakili pembangkang. (Ahli pembangkang) yang lain setakat ini tidak ada yang berjumpa dengan saya. Biarlah kita (antara kerajaan dan pembangkang), berbincang dulu perihal bagaimana kita nak jalin kerjasama,” katanya.

Anwar dilaporkan berkata beliau tidak pernah menghalang atau meletakkan syarat ketat dalam soal pemberian peruntukan kepada wakil-wakil rakyat pembangkang.

Beliau berkata Ahli Parlimen pembangkang perlu melakukan rundingan bersama Fadillah terlebih dahulu, berhubung peruntukan pembangunan kawasan seperti kelaziman yang diamalkan dalam sistem demokrasi serta menghormati peraturan.