Sorting by

×

Pendudukan secara haram dan kitaran kejam Israel ke atas penduduk Palestin mesti dihentikan bagi membuka laluan ke arah usaha menyokong penubuhan negara Palestin yang bebas dan merdeka.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ia mesti dilaksanakan mengikut penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. 

Beliau berkata dunia tidak lagi boleh menafikan hakikat bahawa itu merupakan satu-satunya cara untuk mencapai keamanan di rantau berkenaan dan bagi menyelesaikan isu berkenaan ia memerlukan tindakan yang jitu dan berkesan.  

“Ledakan keganasan semasa yang kita saksikan tidak berlaku secara tiba-tiba. Ia disebabkan pendudukan haram Israel selama lebih 70 tahun di bumi Palestin dan penindasan yang tidak berperikemanusiaan terhadap rakyat Palestin oleh Israel.

“Kita mesti hentikan kitaran kejam di rantau itu. Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berpura-pura kononnya mengambil berat terhadap hak rakyat Palestin,” katanya ketika menyampaikan kenyataan negara pada Mesyuarat Pleno Sesi Ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Situasi di Asia Barat, termasuk isu Palestin, pada Selasa.

Zambry berkata suara rakyat Palestin mesti didengari dengan jelas dalam melakarkan masa depan untuk mereka sendiri. Rakyat Palestin mesti terlibat sepenuhnya dalam sebarang perbincangan mengenai tadbir urus masa depan negara mereka.

Beliau berkata hasrat rakyat Palestin mesti menjadi teras perbincangan dan ia satu-satunya cara untuk memastikan kredibiliti proses dan kejayaannya.  

“Kita tidak boleh menunggu lagi. Sudah tiba masanya untuk memberikan rakyat Palestin tempat yang setaraf dan hak mereka dalam kalangan kita, negara-negara bebas di dunia. Sudah tiba masanya untuk negara Palestin yang bebas dan merdeka,” katanya.

Merujuk laporan 2023 Jawatankuasa Khas PBB untuk Menyiasat Amalan Israel Menjejas Hak Asasi Rakyat Palestin dan orang Arab lain di Wilayah Pendudukan (SCIIP), beliau berkata laporan itu antara lain menekankan bahawa setakat Ogos 2023, tentera Israel telah membunuh lebih ramai rakyat Palestin di wilayah Palestin yang diduduki pada tahun ini, berbanding tahun-tahun lain sejak 2005.

Sehingga September 2023, Israel menahan 1,264 rakyat Palestin, jumlah tertinggi dalam lebih sedekad.

Zambry menegaskan bahawa semua pelanggaran undang-undang antarabangsa mesti disiasat dengan sewajarnya dan tidak terkecuali kepada mereka yang sewenang-wenangnya melakukan jenayah perang dan tindakan dwistandard dalam menggunakan undang-undang antarabangsa hanya menggalakkan lebih banyak pelanggaran. 

Peperangan di Gaza adalah ujian bagi masyarakat antarabangsa dan organisasi.

Jenayah perang telah dilakukan dengan jelas dan terang-terangan dalam perang ini dan kegagalan untuk membawa pelaku jenayah perang ke muka pengadilan hanya akan mengesahkan persepsi hipokrit, selektiviti dan dwistandard.

Beliau berkata ia akan terus menghakis kepercayaan terhadap sistem pelbagai hala dengan implikasi yang meluas, termasuk penggunaan tindakan unilateral yang boleh membawa kepada lebih banyak konflik, penderitaan dan ketidakadilan.

Zambry yang menyambut baik perjanjian “jeda kemanusiaan” di Gaza pada 22 Nov, berkata Malaysia menyertai majoriti negara anggota PBB untuk menggesa gencatan senjata yang berkekalan.

Jeda kemanusiaan selama empat hari berkuat kuasa pada 7 pagi Jumaat itu dilanjutkan selama dua hari lagi pada Isnin.

Sekurang-kurangnya 15,000 orang awam terbunuh, termasuk 6,150 kanak-kanak dan lebih 4,000 wanita manakala lebih 36,000 cedera dalam serangan berterusan Israel ke atas Gaza sejak 7 Okt.-Bernama