Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

SHAH ALAM: Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM3 juta untuk mengagihkan makanan percuma kepada 73,594 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di seluruh negeri itu, menerusi Program Nutrisi Selangor (NutriSel) SPM 2026.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata inisiatif khas melalui peruntukan Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) dan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) itu bertujuan menyediakan makanan berkhasiat sebagai sokongan terhadap keperluan, tumpuan dan kesejahteraan pelajar sepanjang tempoh peperiksaan awam berkenaan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 71,152 calon di 256 sekolah membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Agama Menengah (SAM), Sekolah Agama Menengah Tinggi (SAMT), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), Sekolah Model Khas dan sekolah tahfiz persendirian.

“Selain itu sejumlah 2,442 calon SPM pula di 20 sekolah atau institusi meliputi Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS), Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan institusi pendidikan khas.

“Kesemua pelajar itu akan menerima makanan percuma sepanjang lima hari peperiksaan bagi mata pelajaran teras, dengan pengagihan dilaksanakan UPEN, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan Program NutriSel 2026 di MTIS Alam Impian, di sini pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) merangkap Pengarah UPEN Datuk Johary Anuar, Pengarah JAIS Datuk Mohd Shahzihan Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif MBI Datuk Saipolyazan M Yusop.

Menerusi NutriSEL SPM 2026, calon di 256 sekolah di negeri itu akan menerima set makan tengah hari bernutrisi bernilai RM8 sehari, manakala bakul makanan mengandungi pil vitamin C, roti, bijirin dan susu bagi calon di 20 sekolah atau institusi.

Amirudin yang juga Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan Selangor berkata inisiatif itu selaras dengan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan dan kesejahteraan pelajar, khususnya dalam menghadapi peperiksaan.

“Kita menumpukan kepada usaha memberi sokongan padu dalam memastikan kecemerlangan pelajar dan membantu mereka mendapat makanan bernutrisi.

“Ini juga menyokong agenda kebajikan rakyat dan melahirkan modal insan yang berkualiti di Selangor pada masa depan,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata JPN Selangor akan terus memantau urusan calon SPM yang terjejas banjir dan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di negeri itu.

“Menerusi lawatan saya di PPS sebelum ini, ada beberapa pelajar yang terkesan dan kita akan urus perkara berkaitan seperti pengangkutan.

  “Keadaan banjir setakat ini semakin baik dan kita akan lihat untuk membantu proses pembersihan kediaman mangsa banjir,” katanya.

Terdahulu, Amirudin menyerahkan bakul makanan kepada 50 calon SPM di MITS Alam Impian selain bantuan berjumlah RM50,000 bagi membaik pulih surau dan fasiliti sukan sekolah tersebut.– BERNAMA