Sorting by

×

Kementerian Kesihatan (KKM) menganggarkan ada seramai lima juta perokok semasa di negara ini yang berumur 15 tahun ke atas, akibat pertambahan jumlah perokok baharu menggantikan perokok yang meninggal dunia.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, berkata perokok baharu adalah dalam kalangan generasi berumur 15 hingga 40 tahun dan dijangka terus bertambah dengan kemunculan rokok elektronik atau vape.

“Khusus bagi rokok elektronik atau vape, terdapat peningkatan peratusan pengguna dewasa 15 tahun ke atas, iaitu 1.2 juta orang pada 2019 berbanding 600,000 orang pada 2016 berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang telah dijalankan,” katanya.

Menjelaskan demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Bacaan Kali Kedua) di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata, sebanyak 27,000 kematian dilaporkan akibat merokok di negara ini berdasarkan laporan Malaysia Factsheet The Asean Tobacco Atlas 2019.

“Punca utama kematian adalah disebabkan komplikasi, penyakit berkaitan jantung, penyakit paru-paru kronik dan kanser paru-paru.

Masalah merokok semakin ketara dengan kemunculan produk merokok baharu seperti rokok elektronik atau vape yang lebih menarik perhatian penggunanya,” katanya.

Beliau berkata, di bawah RUU itu juga, semua jenis produk merokok berasaskan tembakau termasuk rokok, cerut, tembakau, lerai dan lain-lain akan terus dikawal sebagaimana ia dikawal di bawah peraturan sedia ada.

“Produk merokok yang tidak berasaskan tembakau dan hasil tembakau, termasuk bahan merokok yang terkandung dalam rokok elektronik atau vape serta produk pengganti tembakau, turut dikawal di bawah RUU ini,” katanya.-BH Online