Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua syarikat telekomunikasi di negara ini membangunkan bakat kepakaran dalam kalangan rakyat supaya dapat meneroka alam pekerjaan berkaitan bidang teknologi baharu.

Perdana Menteri berkata, hanya menerusi pembangunan bakat itu, martabat Malaysia dapat diangkat dari sudut transformasi digital yang diperluaskan ke semua peringkat.

“Saya mahu menggesa selain PEDi (Pusat Ekonomi Digital), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Kementerian Komunikasi dan Digital, saya mahu syarikat telekomunikasi memberi tumpuan lebih supaya agenda pembangunan dan kecanggihan teknologi dapat membantu rakyat.

“Syarikat telekomunikasi harus melihat bidang (peningkatan kemahiran) ini untuk membantu melahirkan bakat kepakaran yang diperlukan, supaya dapat memberi latihan khusus (kepada rakyat) untuk meneroka alam pekerjaan dalam bidang teknologi baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan PEDi MADANI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil; timbalannya, Teo Nie Ching dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Anwar berkata, hanya menerusi pembangunan bakat terbabit, negara dapat memaknai erti keadilan dan MADANI.

Katanya, sama seperti beberapa syarikat besar yang membuat pelaburan di Malaysia, termasuk Infineon, Geely, Google, dan Elon Musk, mereka memerlukan tenaga kepakaran tambahan yang mampu membawa syarikat masing-masing ke peringkat lebih tinggi.

“Inilah cabaran yang kita hadapi kerana apabila tanya Infineon, tanya Geely, semua menyatakan, mereka memerlukan kepakaran tambahan dalam bidang terbabit sehinggakan Geely hantar 300 orang ke China untuk memberikan latihan kepakaran tambahan.

“Jadi saya melihat syarikat telekomunikasi juga harus melihat bidang-bidang ini untuk membantu melahirkan bakat kepakaran yang diperlukan dalam teknologi baharu,” katanya.

Mengenai PEDi, Perdana Menteri berkata, pusat itu antara strategi penting kepada negara dan ia harus dilaksanakan dengan lebih berhasil.

“Sebab itu sebelum ini saya pernah umumkan supaya kegiatan PEDi diperluaskan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya keluarga PEDi menjadi lebih besar.

“Kita mulakan peruntukan RM25 juta dalam Belanjawan 2024 dan sekiranya untuk memenuhi (keperluan), saya akan ikhtiar untuk tambah peruntukan pastikan PEDi ini diperluaskan,” katanya.-BH Online