Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Aman Palestin Berhad (Aman Palestin) memberi tempoh tiga hari kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyahbekukan akaunnya atau berdepan tindakan undang-undang.

Peguam Aman Palestin, Muhammad Rafique Rashid Ali berkata, surat notis sudah dihantar hari ini mengikut Seksyen 44A Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) untuk perintah pembekuan akaun dibatalkan atau diubah.

“Umum sedia maklum Aman Palestin dan ahli lembaga pengarah Aman Palestin kini sedang disiasat oleh pihak SPRM.

“Untuk makluman semua, kali pertama SPRM hadir ke premis berdaftar Aman Palestin adalah pada 17 Oktober lalu. Tiada serbuan atau tangkapan dibuat pada ketika itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Aman Palestin, di sini, malam ini.

Muhammad Rafique berkata, penggeledahan dan pembekuan akaun hanya berlaku sehari selepas kenyataan SPRM dikeluarkan pada 23 November lalu dan hingga kini, tiga kakitangan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan lima ahli lembaga pengarah sudah dipanggil ke Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

“Aman Palestin juga ingin mengesahkan bahawa sebanyak 41 akaun dibekukan oleh SPRM kerana siasatan ini mengikut peruntukan AMLATAPUAA 2001, namun bukan semuanya milik Aman Palestin,” katanya.

Beliau berkata, ada akaun berkenaan milik rakan strategik Aman Palestin dan akaun ahli lembaga pengarah serta kakitangan, manakala aset lain yang dibekukan termasuk 12 bidang tanah, empat bangunan dan empat kenderaan.

Selain itu, kata, dana sumbangan rakyat Malaysia berjumlah RM15,868,762 turut dibekukan.

“Kesemua aset ini semata-mata untuk pelaburan yang dibenarkan di bawah memorandum dan artikel Aman Palestin, bertujuan semata-mata bagi mempertingkatkan kebolehan Aman Palestin memberi bantuan kemanusiaan.

“Ia bukanlah bagi tujuan peribadi ahli lembaga pengarah Aman Palestin, malah kesemua aset ini diperoleh dengan hasil yang halal dan bukan daripada sumber yang haram,” katanya.

Muhammad Rafique berkata, Aman Palestin mempunyai kuasa antara lainnya menggunakan dana-dana yang dikutip dan melaburkan dalam pelbagai pelaburan patuh syariah serta patuh undang-undang.

“Keuntungan pelaburan ini digunakan bagi mencapai matlamat Aman Palestin membantu Palestin, Lubnan, Syria, Yaman dan umat Islam lain yang tertindas, kerja-kerja kemasyarakatan serta apa-apa sahaja matlamat Aman Palestin.

“Kenyataan media pihak SPRM bertarikh 23 November lalu jelas berniat jahat dan sengaja diterbitkan untuk membina persepsi negatif terhadap Aman Palestin.

“Ia seolah-olah telah menghukum Aman Palestin bersalah menyeleweng dana RM70 juta (yang dinafikan). Kenyataan-kenyataan SPRM berkait dengan kes ini ternyata tidak cermat, tidak teliti, tidak boleh dipercayai dan tidak berintegriti,” katanya.

Tambahnya, sehingga kini pelbagai fitnah dilempar terhadap Aman Palestin dan ahli lembaga pengarahnya, sedangkan ia langsung tidak benar sama sekali.

“Segala dana serta kutipan diurus dan dikembangkan sebaik mungkin sebelum disalurkan kepada pihak-pihak berkepentingan bertepatan dengan tujuan Aman Palestin ditubuhkan.

“Aman Palestin juga menggesa ahli-ahli parlimen membangkitkan isu ini di Dewan Rakyat sama ada Kerajaan ataupun Pembangkang. Isu derma dan bantuan kepada Palestin adalah isu sejagat.

“Kerajaan mesti menjelaskan mengapakah agensi penguatkuasaan di bawah kerajaan mengambil tindakan membekukan akaun bagi aktiviti-aktiviti kemanusiaan,” katanya.