Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan Selangor mensasarkan kutipan hasil negeri tersebut meningkat kepada sekitar RM100 juta selepas memperkenalkan tiga langkah baharu bagi meningkatkan hasil negeri mulai tahun hadapan.

Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata langkah berkenaan melibatkan perkongsian dividen anak syarikat sekitar RM40 juta, semakan fi pejabat bawah kaedah tanah negeri sebanyak RM50 juta serta peningkatan caruman parit dianggarkan kira-kira RM10 juta.

“Maknanya daripada tiga langkah pertama ini kita menjangkakan menambah RM100 juta daripada kutipan yang gagal dikutip sebelum ini,” katanya menjawab soalan tambahan Azmizam Zaman Huri (PH-Pelabuhan Klang) mengenai anggaran nilai peningkatan hasil melalui strategi-strategi baharu negeri tersebut.

Sebelumnya, Amirudin berkata hasil kerajaan negeri bergantung sepenuhnya kepada sumber hasil tanah seperti cukai tanah, premium, permit tanah dan galian serta bayaran perkhidmatan berkaitan tanah.

Ia menyumbang sebanyak 80% daripada hasil keseluruhan negeri, dengan hasil cukai tanah menyumbang 24% daripadanya, tambahnya.

Menjawab soalan tambahan oleh Ketua Pembangkang, Azmin Ali (PN-Hulu Kelang) yang mempersoalkan tindakan kerajaan negeri yang masih bergantung kepada hasil tanah, Adun Sungai Tua itu berkata pihaknya giat meneroka projek tenaga hijau bagi menambah lagi nilai hasil negeri termasuk pelaksanaan beberapa projek kendalian Worldwide Holdings Bhd (Worldwide) bernilai hampir RM 10 bilion.

“Pada ketika ini, Worldwide mempunyai sembilan ke 10 projek yang sebahagiannya adalah projek ekonomi atau tenaga hijau dan ia termasuk pembinaan loji janakuasa di Pulau Indah, Klang selain penerokaan sektor solar dan juga minihidro serta penghasilan hidrogen,” katanya.

Beliau berkata penerokaan negeri Selangor dalam sektor tenaga hijau itu juga mendapat perhatian pelabur dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang sedia melabur sekitar RM10 juta dalam projek loji jana kuasa 10 gigawatt. – FMT