Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan sejak 2010 hingga September lalu, hanya 19 kes dituduh bawah Akta Hasutan 1948.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Shamsul Anuar Nasarah, berkata secara keseluruhan sebanyak 960 kes dibuka bawah akta itu dalam tempoh sama sekali gus membuktikan kerajaan telus dan tidak mengambil tindakan sewenang-wenangnya kepada mana-mana pihak.

“Tindakan diambil berdasarkan undang-undang sedia ada yang mana menunjukkan kita telus dan bertanggungjawab ke atas perkara tersebut,” katanya dalam waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.

Beliau mengulas demikian selepas Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) mencelah dan bertanya soalan tambahan dengan meminta Shamsul memaklumkan status terkini 104 kertas siasatan dibuka polis membabitkan isu agama, bangsa dan institusi diraja (3R).

Dalam pada itu, Shamsul berkata daripada 104 kertas siasatan dibuka itu, 60 kes selesai disiasat dan 44 kes masih dalam siasatan.

Sementara itu, beliau memaklumkan kerajaan tidak merancang menggubal akta khusus berkaitan 3R.

“Kementerian berpandangan bahawa akta sedia ada sudah mencukupi bagi kawal selia 3R,” katanya menjawab pertanyaan Takiyuddin sama ada kerajaan bercadang menggubal undang-undang khusus berkaitan perkara itu.