Kerajaan mahu bekerjasama dengan sektor kewangan untuk mewujudkan mekanisme pembiayaan peralihan tenaga bagi syarikat yang menyertai projek hijau, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Dalam melengkapkan inisiatif Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), terdapat keperluan untuk mewujudkan ekosistem yang lebih menyeluruh, yang mana industri boleh menyumbang ke arah merealisasikan projek mesra alam yang lain, tidak semestinya membabitkan projek solar atau hidrogen.
“Kami sedang melihat untuk bekerjasama dengan industri perbankan serta kewangan bagi membangunkan satu lagi set atau aliran pembiayaan yang kami gelarkan pembiayaan peralihan.
“Dalam kami bercakap mengenai peralihan tenaga, terdapat banyak sektor, industri atau projek yang mungkin tidak layak untuk pembiayaan hijau. Sebagai contoh, jika anda membawa peralatan yang bertujuan meningkatkan kecekapan tenaga, secara definisi, itu bukan projek hijau,” katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Perbankan dan Kewangan Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) 2023 di sini hari ini.
Acara itu dianjurkan secara bersama oleh ASLI, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Universiti Sunway.
Rafizi berkata menerusi NETR, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM2 bilion pembiayaan untuk projek peralihan tenaga, dan kementeriannya akan bekerjasama dengan institusi kewangan bagi melihat berapa banyak yang boleh diperuntukkan untuk mekanisme baharu itu.
“Saya berharap ia akan membuka saluran kepada kerajaan untuk bekerjasama dengan sektor perbankan serta kewangan dalam mengembangkan sistem yang sedia ada bagi pembiayaan hijau selain pembiayaan peralihan, yang jauh lebih besar daripada pemahaman pembiayaan mesra alam yang wujud dalam pasaran kewangan semasa.
“Di situlah pendekatan serta perspektif sedia ada mengenai pembiayaan hijau dan kelestarian kemampanan perlu diperluaskan untuk merangkumi pembiayaan peralihan,” tambahnya.
Rafizi percaya bahawa inisiatif itu akan menerima maklum balas yang positif serta didokong oleh pihak perbankan dan industri kewangan supaya pembiayaan baharu untuk peralihan tenaga ini dapat dilancarkan secepat mungkin.