Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2023 menerima kehadiran luar jangka dengan lebih 200,000 orang yang mengunjungi lokasi penganjurannya di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini, pada hari kedua setakat ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata beliau yakin jumlah keseluruhan kehadiran pengunjung, bakal melebihi sasaran awal iaitu 350,000 orang pengunjung.
“Terima kasih atas kehadiran, walaupun hujan hari ini tetapi kehadiran cukup memuaskan.
“Jualan pada hari ini terutamanya tanaman, beras dan sebagainya mendapat sambutan daripada rakyat negeri Perak, terima kasih kepada media yang memberi publisiti dan orang ramai dapat hadir dan melihat produk pertanian dan makanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Perasmian HPPNK 2023 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mewakili Perdana Menteri, di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini hari ini.
Mohamad selepas itu turut melancarkan Program Pembangunan Agropreneur Muda Siswazah sempena HPPNK 2023 itu.
Sementara itu dalam ucapannya, Mohamad berkata Kerajaan Perpaduan menghargai jasa serta sumbangan peladang, penternak dan nelayan di negara ini, dan golongan itu disifatkan wira negara yang sentiasa berusaha untuk memastikan bekalan makanan negara, sentiasa cukup dan terjamin.
Beliau berkata melalui sambutan HPPNK, ia menjadi medium khusus memupuk semangat serta memperbaharui azam warga pengeluar makanan negara, untuk berusaha lebih giat menambahkan pendapatan demi kebahagiaan keluarga dan masyarakat, serta kemakmuran negara.
“Sehingga kini, sebanyak 48 kali sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) telah diraikan. Sesungguhnya, perjuangan dan semangat serta sumbangan yang telah wujud sejak dahulu lagi akan terus dikenang dan kekal sampai bila-bila,” katanya.
Mohamad berkata sambutan secara dwi-tahunan itu, merupakan perantara bagi peladang, penternak dan nelayan untuk mendapatkan pendedahan baharu, mengembangkan jaringan kerjasama serta membuka peluang strategik, kepada potensi perniagaan sepanjang sambutan itu berlangsung.
Beliau berkata konsep baharu HPPNK 2023 memberikan daya tarikan khusus untuk golongan muda, dengan memberi penekanan kepada empat fokus utama iaitu Agro Millenia, Agro Teknologi dan Inovasi, Sejahtera MADANI serta Agro MADANI.
Mohamad kemudian menyempurnakan Pelancaran Syiling Peringatan LPP50, yang akan dijual dengan harga RM10 sempena ulang tahun Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ke-50 tahun yang disambut pada Februari lepas.
Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim berkata keluaran syiling emas khas itu bagi menghargai jasa para peladang dan penternak itu akan dijual dengan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) mulai Disember ini.
“Lebih 6,000 unit Syiling Peringatan LPP50 akan dikeluarkan, jadi sesiapa yang berminat mengumpul syiling boleh mendapatkannya di BNM,” katanya.