Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa penduduk di kawasan berisiko banjir mengambil langkah pencegahan sewajarnya selain mematuhi arahan pihak berkuasa bagi mengelak dan mengurangkan impak bencana terhadap nyawa serta harta benda.

Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, berkata hujan lebat sejak beberapa hari lepas menyebabkan kawasan rendah dinaiki air manakala paras air sungai utama menunjukkan trend menaik.

Beliau berkata setakat 12 tengah hari tadi, enam daerah di Perak, Selangor serta Pahang terjejas banjir dan sejumlah 881 orang daripada 237 keluarga direkodkan berada di 12 pusat pemindahan sementara.

Katanya Jabatan Pengairan dan Saliran memaklumkan setakat 6 pagi tadi, terdapat tiga sungai dengan bacaan air di paras bahaya iaitu Sungai Pontian Besar Kulai di Kampung Sri Paya, Johor Bahru; Sungai Perak di Changkat Jong dan Sungai Langat di Bangi Lama manakala Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) pula telah mengeluarkan ramalan cuaca signifikan bagi tempoh 6 hingga 8 Nov ini.

“Berdasarkan analisis model cuaca tersebut, ribut petir beserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan tempat di kawasan pedalaman dan barat Semenanjung, utara Sarawak serta barat Sabah terutama pada sebelah petang hingga malam sepanjang tempoh ramalan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Zahid turut menyarankan penduduk di kawasan yang mudah terkesan banjir agar merujuk maklumat terkini daripada sumber sahih.

“Saya berdoa dan berharap agar kejadian ini tidak membawa kerosakan yang besar serta semua mangsa tabah dan sabar melalui dugaan ini,” katanya.-Bernama