Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak menerima sebarang laporan rasmi berhubung kenaikan harga ayam selepas pelaksanaan pengapungan harga bahan mentah itu bermula Rabu lalu.

Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata pemantauan pasukan penguat kuasa kementerian itu sehingga semalam mendapati, ayam standard di Semenanjung dijual pada harga serendah RM5.79 per kilogram (kg).

“Bagaimanapun, ada juga yang dijual sedikit tinggi sehingga RM10.50 per kg seperti di Mentakab, Temerloh serta Pasar Awam Matang, Perak.

“Pasukan penguat kuasa sentiasa memantau perkara itu kerana kita mengambil pendekatan libat urus dengan peniaga, bukannya terus mengambil tindakan perundangan.

“Bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, saya mendapat arahan terus daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, untuk turun memantau harga di sana kerana beliau mendapat makluman harga ayam lebih mahal berbanding Semenanjung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2023 di sini, hari ini.

Armizan berkata, siasatan lanjut pihaknya mendapati situasi di Sabah sedikit unik memandangkan ayam bersih super lebih popular di negeri itu berbanding ayam standard.

“Memang harganya (ayam super) mahal sedikit berbanding ayam biasa dengan paling murah dijual pada harga RM10 dan boleh mencecah RM13.90 setiap kg, namun hakikatnya harga itu pun lebih rendah daripada harga kawalan di Sabah dahulu iaitu RM11.30 per kg,” katanya.

Beliau berkata, harga ayam bersih di Sarawak boleh didapati serendah RM9.90 per kg namun mencecah RM18.90 di beberapa kawasan seperti Lawas dan Limbang kerana desakan kos logistik.

Katanya, KPDN turut melakukan intervensi menerusi penganjuran Jualan RAHMAH dan Agro MADANI di kawasan yang berdepan isu bekalan ayam dan harga.

“Namun saya nak maklum juga hakikatnya dari dahulu lagi harga ayam di Semenanjung memang lebih murah berbanding Sabah, Sarawak dan Labuan atas beberapa faktor.

“Untuk menyelesaikan ketidakseimbangan harga ini pastinya memerlukan sedikit masa dan kerjasama kerajaan negeri,” katanya.

Mengulas laporan media berkaitan harga barangan keperluan asas meningkat sehingga 64 peratus di Pulau Pinang, Armizan berkata, KPDN memantau rapi isu itu dan mengeluarkan tiga notis maklum balas kepada peniaga meminta penjelasan punca harga dinaikkan pada kadar kurang wajar. – BERNAMA