Sorting by

×

Peminat bola sepak tempatan berpeluang menyumbang kepada Palestin ketika menonton aksi skuad Harimau Malaya menentang Kyrgyzstan pada saingan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 16 Nov ini.

Ia selepas RM2 daripada setiap pembelian tiket perlawanan itu akan disumbangkan ke tabung Palestin sebagai tanda soladiriti serta bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat negara itu yang menjadi mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza ketika ini.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menetapkan harga tiket iaitu RM40 bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak enam hingga 12 tahun bagi Kategori Terbuka; RM60 bagi Kategori Grandstand dan RM80 bagi Kategori Premium.

“Penetapan harga-harga tiket tersebut diputuskan oleh Jawatankuasa Tiket dan Stadium FAM selepas mengambil kira pelbagai faktor termasuk peningkatan semasa kos berkaitan iaitu melibatkan kos pengurusan dan penganjuran perlawanan.

“Penetapan RM40 bagi Kategori Terbuka adalah berdasarkan taraf perlawanan ini iaitu perlawanan Kelayakan Piala Dunia/Piala Asia yang pastinya berbeza dengan harga tiket perlawanan antarabangsa Tier 1 iaitu RM30 bagi Kategori Terbuka,” kata Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM  dipengerusikan Presidennya Datuk Hamidin Mohd Amin di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini, hari ini.

Pada masa sama, RM1 daripada setiap jualan tiket bagi perlawanan menentang Kyrgyzstan turut akan disumbangkan ke tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya yang dilaksanakan FAM sejak Mac lepas.