Sorting by

×

Kerajaan Perpaduan tidak terdesak sehingga memerlukan sokongan Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) untuk mengukuhkan pentadbiran pada ketika ini.

Sebaliknya, Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kedudukan kerajaan sekarang ini berada pada tahap meyakinkan.

“Kerajaan bergerak macam biasa, tak ada sebarang masalah, daripada sudut tahap sokongan yang ada sekarang pada kedudukan sangat meyakinkan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Geran Prihatin Komuniti Jabatan Pendaftar Pertubuhan Peringkat Zon Utara di sini pada Jumaat.

Tambah Saifuddin, beliau dalam masa sama menafikan terdapat ugutan yang mempengaruhi keputusan yang dibuat ahli Parlimen terbabit.

“Tak ada apa-apa ugutan terhadap kedudukan kerajaan yang ada sekarang… jadi kalau ada umpamanya keadaan di mana beberapa ahli Parlimen daripada PN yang menyatakan sokongan, bagi kami, kami mengalu-aluhkan.

“Tapi nak katakan bahawa sokongan itu adalah hasil daripada mereka diugut, kita menafikan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa terdapat percubaan daripada blok kerajaan untuk menghasut Ahli Parlimen PN bagi menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Sinar Harian