Sorting by

×

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan kepada dua artis veteran tanah air yang kini berdepan masalah kesihatan iaitu penyanyi Ibnor Riza dan pelakon Fauziah Samad.

Foto: FB Anwar Ibrahim

Menerusi catatan di Facebook (FB), hari ini, Anwar memaklumkan, penyerahan sumbangan disempurnakan Setiausaha Politik Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi.

“Mendapat khabar dukacita bahawa seniman dan seniwati tanah air, Ibnor Riza dan Fauziah Samad dilanda musibah kesihatan.

“Lantaran itu, hari ini Setiausaha Politik saya, Ahmad Farhan Fauzi menziarahi mereka.

“Ibnor diuji dengan penyakit kanser limfoma, manakala Fauziah menghidap penyakit osteoartritis sehingga terpaksa berkerusi roda,” tulis Anwar.

Menerusi hantaran sama, Anwar berharap sumbangan dihulurkan mampu melancarkan urusan perubatan, di samping mendoakan kesejahteraan buat mereka.

“Farhan turut menyampaikan sumbangan daripada pihak saya kepada bagi membantu urusan perubatan masing-masing.

“Saya mendoakan mereka dikurnikan afiyah dan diberikan kekuatan oleh Allah SWT,” tulisnya.