Sorting by

×

Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2024 (Belanjawan 2024), selepas rang undang-undang itu selesai dibahaskan di peringkat dasar.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul telah mempengerusikan sesi mesyuarat RUU Perbekalan 2024 itu diluluskan menerusi undian suara.

Sesi undian dibuat sejurus penggulungan perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada jam 6.50 petang.

Seramai 85 Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam sesi perbahasan RUU Perbekalan 2024 peringkat dasar, bermula 16 Oktober lalu.

Terdahulu, sesi terakhir penggulungan peringkat dasar RUU Perbekalan 2024 membabitkan lima kementerian iaitu Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Kewangan.

RUU Perbekalan 2024 adalah belanjawan kedua di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan.

Ia dibahaskan di peringkat dasar selama lapan hari, disusuli penggulungan selama empat hari mulai 30 Oktober lalu.

Dokumen Belanjawan 2024 membabitkan peruntukan tertinggi dalam sejarah negara, bernilai RM 393.8 bilion, dibentangkan Anwar pada 13 Oktober lalu.

Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat’ itu memperuntukkan RM 303.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus, RM 90 bilion untuk perbelanjaan pembangunan dan RM 2 bilion pula disediakan untuk simpanan luar jangka. – Berita Harian