Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyasaran semula subsidi diesel secara berfasa hanya akan dilaksanakan di Semenanjung.

Katanya, penyasaran semula subsidi itu tidak melibatkan Sabah dan Sarawak kerana penggunaan diesel secara menyeluruh di dua negeri berkenaan.

“(Penyasaran) subsidi diesel hanya di Semenanjung sebab di Sabah Sarawak, diesel digunakan secara menyeluruh, jadi kalau nak laksanakan, kena kaji dampaknya begitu rupa,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-undang Perbekalan 2024 bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat.

Menteri kewangan itu berkata, warga asing serta golongan maha kaya turut menikmati subsidi dan kos keseluruhan subsidi kini berjumlah RM 81 bilion.

“Tetapi nelayan yang menerima subsidi diesel itu diteruskan juga (RM1.65 seliter), kenderaan diesel dalam ketegori pengangkutan awam, termasuk van dan bas sekolah juga kekal RM1.88 seliter.

“Jadi, saya harap dapat menerima penyasaran semula diesel ini kerana ia boleh mengurangkan beban kerajaan.”
Harga diesel bersubsidi ketika ini adalah RM2.15 seliter berbanding harga pasaran RM3.78 seliter.

Selain itu, beliau berkata, taklimat oleh ketua audit negara berhubung hasil pengauditan terkini menunjukkan kerugian wang awam hampir RM700 juta, antaranya melibatkan pengurusan program penanaman padi negara, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) dan kawal selia senjata api di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Anwar berkata, perkara itu ditugaskan kepada Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof bersama jawatankuasa dibentuk.

“…seperti mana kita lakukan ketika zaman Bera (Ismail Sabri Yaakob) ada libat urus, runding ada parameter, kita runding, kita teruskan. Saya tidak beranjak daripada pendirian itu. Soal nak kata zalim, maknanya kerajaan dulu zalimlah, tak bagi (peruntukan).

“Larut (Hamzah Zainudin) pun tahu, bincang, kalau munasabah, kita lulus tak ada masalah, kata tak ada peruntukan tak betul, peruntukan Ahli Parlimen itu keputusan kemudian, bukan hak, haknya beri peruntukan cukup pada rakyat, bukan Ahli Parlimen, wakil rakyat ada hak dia, ada gaji ada elaun.”

Mengulas celahan Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkaitan pelarasan pencen tentera, katanya, kajian telah dilakukan bersama sekretariat Jabatan Perkhidmatan Awam untuk melihat penyelarasan menyeluruh, termasuk veteran tentera berpencen.

“Jadi, beri saya sedikit lagi masa, saya beri jaminan saya tidak mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketepikan permohonan mana-mana pihak, kita minta bersama KSN (ketua setiausaha negara) dan KPPA (ketua pengarah perkhidmatan awam) buat kajian menyeluruh bagi pastikan tiada satu pun tertinggal.” – Bernama