Sorting by

×

Ribuan rakyat Turkiye membanjiri Lapangan Terbang Ataturk untuk sesi ‘Pertemuan Ramai Palestin’ pada Sabtu.

Di perhimpunan itu juga, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dan penyanyi terkenal dunia Yusuf Islam juga dijangka hadir.

Erdogan pada Sabtu menggesa Israel untuk menghentikan serangan berterusan ke atas Gaza dan keluar dari “situasi gila” ketika tentera Israel memperhebatkan serangan semalaman.

“Pengeboman Israel yang terus meningkat dan diperhebat yang ditujukan ke Gaza sekali lagi menyasarkan wanita, kanak-kanak, dan orang awam yang tidak bersalah, memburukkan krisis kemanusiaan yang berterusan,” kata Erdogan di platform X.

Edrogan turut meminta rakyat Turki untuk menyertai perhimpunan besar-besaran di Lapangan Terbang Ataturk sebagai solidariti untuk Gaza.

Memetik laporan TRT World, sehingga jam 3:30 petang waktu tempatan, lebih setengah juta rakyat Turki menyertai perhimpunan itu yang bakal menyaksikan Erdogan menyampaikan ucapannya.

Kebanyakan peserta perhimpunan ini bukan sahaja datang dari kota Istanbul malah turut disertai rakyat dari seluruh negara.

Perhimpunan besar-besaran ini diadakan sehari sebelum Turki menyambut sambutan mega sempena ulang tahun ke 100 penubuhan republik itu.

“Tidak guna jika kami hanya meraikan ulang tahun republik ini tetapi kami tidak terpanggil untuk membela nasib rakyat di Gaza”, kata salah seorang perserta perhimpunan yang ditemu bual TRT World.

Pada Jumaat malam, Israel membedil Gaza selepas memotong talian telekomunikasi dan internet.

Sehingga kini sekurang kurangnya 7,326 rakyat Palestin dibunuh tentera zionis di mana 70 peratus daripadanya merupakan wanita dan kanak kanak.-Astro Awani