Sorting by

×

Committee to Protect Journalist (CPJ) bimbang informasi penting berhubung apa yang sebenarnya berlaku di Gaza akan terputus akibat tiadanya internet.

Perkhidmatan komunikasi dan internet di Semenanjung Gaza putus sepenuhnya pada pagi Jumaat akibat pengeboman besar-besaran Israel ke atas talian pengantar, menara dan rangkaian, kata penyedia perkhidmatan.

Anadolu Agency melaporkan, Palestine Telecommunications Company dalam kenyataan berkata, “talian darat, talian tanpa wayar, dan perkhidmatan komunikasi internet telah terputus sepenuhnya di tengah-tengah pengeboman hebat melibatkan talian menghubungkan Tebing Barat termasuk menara dan jaringannya.”

Ooredoo Palestine, penyedia rangkaian telefon di Tebing Barat dalam kenyataan lain berkata sejak pagi Jumaat, khidmat telefon langsung terputus menghubungkan Gaza.

Menurut sumber daripada Kementerian Komunikasi dan Teknologi Maklumat Palestin, terdapat gangguan mengejut dalam perkhidmatan dari Semenanjung Gaza tanpa diketahui puncanya.

Sementara itu, menurut Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin,badan itu terputus hubungan “sepenuhnya” dengan bilik operasi di Semenanjung Gaza, termasuk semua kru anggotanya yang bekerja di sana.

Persatuan itu juga memaklumkan kebimbangan mengenai “khidmat penyediaan ambulans di Semenanjung Gaza, terutama gangguan perkhidmatan komunikasi pusat dan menjejaskan ketibaan ambulans merawat golongan cedera.”

CPJ memberi amaran bahawa situasi ini boleh menyebabkan terputusnya maklumat kritikal. CPJ juga menegaskan bahawa dunia “kehilangan tingkap realiti” ke atas situasi sebenar di Gaza kerana terputus hubungan dengan wakil mereka di lapangan.

“Perang Israel-Gaza memasuki peringkat baharu dengan pengeboman semakin hebat dan operasi darat oleh tentera Israel. CPJ sangat bimbang susulan laporan meluas komunikasi terputus di Gaza,” lapor Anadolu Agency.

Katanya, dengan terputusnya komunikasi bukan hanya menafikan dunia mendapat berita penting, malah mewujudkan “vakum” yang mana laporan bebas dan berfakta kini diambil alih “propaganda bahaya”, selain maklumat tidak tepat dan tiada maklumat.

CPJ berkata, menjadikan wartawan atau infrastruktur media sebagai sasaran sengaja boleh dianggap jenayah perang. – Media Perpaduan