Sorting by

×

Malaysia optimis resolusi pada Sesi Tergempar Khas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk menghentikan segera serangan rejim Israel dan menyegerakan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Semenanjung Gaza mendapat sokongan.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata optimisme itu adalah setelah mengambil kira jumlah negara yang hadir pada sesi tergempar berkenaan yang diharapkan berakhir dengan keputusan yang baik untuk mendesak rejim Israel menghentikan serangan yang mengorbankan ribuan rakyat Palestin.

Zambry berkata beliau telah memaklumkan kepada Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad supaya menyampaikan pendirian Malaysia memandangkan lebih 100 negara telah menyatakan kesediaan untuk turut serta.

“Kita harapkan akhirnya nanti negara-negara yang terlibat akan memberikan sokongan tegas berpandukan kepada Resolusi Jordan iaitu antaranya menghentikan serangan membabi-buta (di Gaza) dan dihantar bantuan kemanusiaan dengan segera,” katanya kepada media selepas melancarkan Kempen Sumbangan Perkhidmatan Awam kepada Palestin peringkat Kementerian Luar, di sini hari ini.

Ditanya langkah seterusnya sekiranya keputusan yang diharapkan tidak menjadi, Zambry berkata tidak usah kecewa kerana usaha akan terus dilakukan melalui pendekatan lain untuk terus memberi tekanan kepada rejim Israel.

Beliau berkata hujah Israel yang mendakwa mereka ada hak mempertahan diri tidak boleh diterima kerana ia tidak mengikut undang-undang antarabangsa, serta situasi juga berbeza dengan jumlah mangsa di Palestin akibat serangan Israel.

“Dalam masa yang sama tindakan-tindakan yang cuba memekakkan telinga dan membutakan mata daripada kuasa-kuasa besar terhadap kekejaman yang dilakukan di luar batas kemanusiaan dan undang-undang antarabangsa. Kita perlu terus mendesak dan Malaysia akan terus memainkan peranan bersama negara lain yang sependapat dalam usaha ini,” katanya.

Mengenai kesediaan badan bukan kerajaan (NGO) Malaysia untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin, Zambry berkata kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak untuk berbuat demikian namun sebarang sumbangan sebaik-baiknya dihantar melalui Wisma Putra.

Ini kerana Ketua Pegawai Eksekutif Bulan Sabit Merah di Mesir yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus proses penghantaran bantuan menyatakan kesulitan penghantaran ketika ini memandangkan hanya antara 15 dan 20 trak sahaja dibenarkan walaupun Palestin memerlukan sekurang-kurangnya 200 trak penghantaran bantuan sehari, katanya.

Beliau berkata Malaysia telah bersedia untuk menghantar 50 tan barangan bantuan kemanusiaan dan proses itu akan dilaksanakan segera selepas dibenarkan masuk memandangkan lapangan terbang El Arish di Mesir dilaporkan masih sesak.

Zambry berkata Wakil Tetap Malaysia ke PBB juga telah memaklumkan bahawa PBB meminta Malaysia supaya menghantar produk petroleum dan sarung tangan yang amat diperlukan ketika ini.

“Barangan terdesak itu sedang diuruskan untuk dihantar ke sana secepat mungkin,” katanya. -Bernama