Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pembangunan aset serta perumahan untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) selari dengan matlamat kerajaan untuk menjaga kebajikan anggota.

Perdana Menteri berkata, matlamat bertunjangkan Konsep Malaysia Madani itu bakal memberi faedah bukan sahaja kepada warga tentera, tetapi turut meliputi ahli keluarga serta masyarakat di sekitar kem.

“Saya berharap ini bakal menjadi pemangkin agar ketumbukan badan pertahanan negara terus utuh dalam memastikan keselamatan rakyat berada pada tahap yang terbaik,” katanya melalui hantaran di Facebook hari ini.

Hantaran menyusul selepas Perdana Menteri menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Perpindahan dan Pembangunan Semula Kem Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT), Unit Army Red Warrior (ARW) dan Kem 12 Kompeni Kor Polis Tentera Diraja (12KPTD), serta Pembangunan Perumahan Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) di Bangunan Perdana Putra hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Isham Ishak.

“Saya dimaklumkan perjanjian ini melibatkan perpindahan dan pembangunan semula aset ATM termasuk pusat latihan bagi Kor Polis Tentera Diraja iaitu PULAPOT, Markas Tim Akrobatik ARW dan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) serta kemudahan berkaitan,” katanya.

“Kompleks baharu yang ditambah baik dengan kemudahan sedia ada, pastinya membantu warga kerja pertahanan terdiri daripada anggota ATM, warga veteran ATM dan warga kerja awam di Kementerian Pertahanan untuk memiliki rumah selesa di Kuala Lumpur di bawah harga pasaran,” kata Perdana Menteri lagi.

Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan kompleks baharu yang lengkap, moden dan selesa bakal dibina di tapak Mukim Si Rusa di Port Dickson antara lain akan membabitkan pembinaan pejabat markas, Wisma Perwira, Wisma Bintara, dewan serbaguna, kemudahan bilik latihan, bilik penginapan, padang kawad, sirkit menempuh halangan, lapang sasar pistol dan lain-lain kemudahan yang akan memberi manfaat kepada PULAPOT dan ARW.

Bagi Anggota ATM yang bakal berpindah, sebanyak 213 unit RKAT pelbagai kelas bakal disediakan dengan kemudahan lengkap seperti kompleks komuniti, surau, sekolah rendah agama, tadika, taska, Rumah BAKAT dan gelanggang sukan.

Mengenai perumahan SASaR, kementerian berkata projek Wardieburn menawarkan 974 unit rumah berkeluasan 1,400 kaki persegi dan 1,500 kaki persegi serta menyediakan kemudahan melebihi apa yang digariskan dalam Dasar Perumahan Mampu Milik Negara (DRMM) seperti gimnasium, kolam renang dan dua lot parkir bagi setiap rumah.

Sementara SASaR Genting Klang menawarkan 6,400 unit rumah berkeluasan 1,000 kaki persegi dan 1,200 kaki persegi serta mempunyai kemudahan asas setara dalam DRMM sebagaimana pembangunan perumahan mampu milik yang lain.-Berita Harian