Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Doktor-doktor di utara Gaza memberi amaran ‘malapetaka’ kemanusiaan ketika serangan udara dan kepungan Israel ke atas wilayah berkenaan memasuki minggu ketiga, lapor laman berita Middle East Eye semalam.

Sejak Israel memutuskan bekalan elektrik, bahan api dan air ke Gaza pada 9 Oktober lalu, situasi di hospital-hospital semakin buruk. Doktor-doktor hampir kehabisan bekalan perubatan untuk menyelamatkan nyawa, manakala jumlah pesakit kritikal melonjak.

Pesakit yang cedera dalam serangan udara, wanita hamil, kanak-kanak dan pesakit buah pinggang adalah mereka yang paling teruk terjejas. 

Di hospital terbesar di Gaza, al-Shifa, doktor-doktor berdepan kebanjiran mangsa bedilan Rejim Zionis, ditambah pula dengan ribuan orang awam yang hilang tempat tinggal dan  berlindung di sana.

Seorang doktor unit rawatan rapi (ICU), Bassel Amr memaklumkan bahawa jumlah mangsa cedera yang dibawa masuk adalah jauh lebih besar daripada kapasiti hospital. Ruang di wad dan bilik pembedahan segera sudah penuh.

“Kami mempunyai 17 bilik gerakan yang disediakan dan sedia untuk digunakan, tetapi ia tidak mencukupi. Kebanyakan mangsa yang cedera memerlukan pembedahan.

“Kami hanya mempunyai kapasiti untuk merawat 17 orang pada satu-satu masa, manakala selebihnya menunggu giliran. Ada yang mati di depan mata dan anda tidak boleh membantu mereka kerana bilik gerakan sudah penuh,” tambahnya.

Situasi paling traumatik dihadapi oleh Amr dan rakan-rakannya adalah hakikat bahawa mereka perlu mengutamakan pesakit lebih parah berbanding yang lain.

“Kami kini dalam situasi di mana kami perlu membuat keputusan sukar untuk mempertaruhkan nyawa seorang pesakit demi menyelamatkan nyawa pesakit yang lain,” katanya.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) berkata, 12 daripada 35 hospital di Gaza kini tidak beroperasi kerana rosak akibat pengeboman Israel dan kehabisan bekalan bahan api. – AGENSI