Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Institusi Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri kepada keamanan negara dan nadi kepada perpaduan negara, institusi ini bukan sekadar simbolik semata-mata.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah sedemikian dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-262 di Istana Negara hari ini.

Seri Paduka bertitah, institusi Yang di-Pertuan Agong mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara yang berupaya menggunakan budi bicara untuk menzahirkan kata putus, tatkala negara menemui jalan buntu.

“Manakala pada hemat Paduka Adinda Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu pula secara kolektif adalah merupakan payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

“Kekuatan yang mengalir dalam tubuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah cerminan kepada daulat sekalian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” katanya dalam titah perutusan pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262, di Istana Negara semalam.

Perutusan Seri Paduka itu dikeluarkan Pejabat Mohor Besar-Raja-raja.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16 pada 30 Januari depan mengenang pelbagai peristiwa dan badai gelora termasuk kemelut politik yang melanda tanah air sepanjang bersemayam sejak 31 Januari 2019.

“Terpahat dalam lipatan sejarah negara bahawa Paduka Adinda adalah merupakan satu-satunya yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat Jemaah Menteri.

“Begitu juga setelah negara menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung.

“Dalam apa juga situasi, Paduka Adinda telah memberi ruang kepada Ahli-Ahli Dewan Rakyat untuk mencapai satu kesepakatan atas prinsip perpaduan demi untuk masa hadapan negara,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, tugas melantik tiga Perdana Menteri dalam kalangan Ahli Dewan Rakyat telah disempurnakan selaras dengan kuasa budi bicara yang diberikan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Menurut baginda, tempoh pemerintahannya turut diselubungi penularan pandemik Covid-19 yang memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan dan negara terpaksa menempuh perintah kawalan pergerakan.

Namun demikian, titahnya, sama ada ketika berdepan kemelut politik atau pandemik Covid-19 dan sepanjang baginda memerintah negara, Al-Sultan Abdullah sentiasa menjunjung sumpah yang telah dilafazkan iaitu memerintah negara secara adil menurut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Titah baginda, berkat daulat dan sokongan daripada Raja-Raja Melayu, pelbagai peristiwa dan dugaan yang melanda negara dapat diatasi sepanjang tempoh lima tahun. – MalaysiaGazette