Sorting by

×

Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Datuk Zulkefly Mohamad Omar meninggal dunia pada usia 59 tahun di Hospital Serdang, Selangor hari ini.

Speaker DUN Negeri Sembilan Datuk MK Ibrahim Abd Rahman yang mengesahkan perkara itu berkata  Zulkefly mendapatkan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) pada dua hari lepas kerana menghidapi komplikasi pelbagai masalah kesihatan dan perlu ditidurkan.

“Beliau dimasukkan ke ICU kerana didapati keadaan jantung lemah, kemudian doktor pakar ada beritahu saya bahawa Datuk Zulkefly juga ada beberapa penyakit lain yang menyebabkan komplikasi terbabit.

“Saya mendapat berita Allahyarham meninggal dunia kira-kira 1.30 tengah hari tadi.

Jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Lenggeng untuk dimandikan serta disolatkan selepas asar ini.

Moga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Sembilan itu berkata beliau mengenali Allahyarham Zulkefly lebih 25 tahun dan menyifatkan pemergian Naib Pengerusi Amanah negeri itu sebagai satu kehilangan besar kepada parti yang amat dirasai seluruh ahli politik di negeri ini.

Zulkefly memulakan karier politik bersama PAS dan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-10 (PRU10) pada 1999 di DUN Lenggeng.

Allahyarham pernah memegang jawatan Pesuruhjaya PAS dari 2007-2011. Setelah menyertai Amanah, Zulkefly bertanding di kerusi DUN Johol pada PRU14 dan Parlimen Jelebu pada PRU15, November tahun lepas.

Zulkefly dilantik sebagai Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan pada Julai 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU14. -Bernama