Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 di Putrajaya.

Ia susulan daripada Mesyuarat Jemaah Menteri pada 16 September lepas yang memutuskan agar Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dilaksanakan bagi mencadangkan dasar dan hala tuju baharu agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang lebih adil, saksama dan inklusif serta mampu mengukur tahap penyertaan dan kawalan ekonomi Bumiputera yang lebih bermakna.

Zahid Hamidi ketika mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Kongres Ekonomi Bumiputera pagi tadi- Gambar: Facebook Zahid Hamidi

Mesyuarat pagi tadi adalah yang pertama diadakan turut melibatkan wakil-wakil daripada Kementerian Ekonomi (KE), Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) dan MARA yang bertindak sebagai Sekretariat bersama bagi memastikan kejayaan kongres ini.

Turut hadir memberikan pandangan dan idea adalah wakil-wakil daripada Majlis Perundingan Melayu, Majlis Profesor Negara, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan Ahli Majlis Mara yang memberikan idea dan pandangan bernas agar kongres ini mencapai objektif dan matlamatnya.

Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah menyeru agar lebih banyak pihak tampil memberikan idea dan pandangan agar konvensyen ini mampu mencipta sesuatu yang luar biasa bagi melonjakkan tahap ekonomi Bumiputera sekaligus memberi sumbangan yang signifikan kepada pembangunan negara. -Media Perpaduan