DAMAC Group merupakan pemaju hartanah mewah di Emiriah Arab Bersatu (UAE) merancang bagi melabur untuk penubuhan pusat data bernilai RM 250 juta di Cyberjaya.
Menurut Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil pusat data tersebut akan memberi fokus kepada pelanggan runcit dan perusahaan.
“Saiz tanah yang dicadangkan adalah lebih kurang 1.21 hektar. Pada masa ini, DAMAC sedang menilai Cyberjaya dan CBD KL sebagai pilihan,” katanya selepas bertemu pengasas dan pengerusi DAMAC Group, Hussain Sajwani di kediamannya di sini.
DAMAC turut membeli tanah di Thailand dan Indonesia bagi cadangan pelaburan pusat data dan memfokuskan kepada Malaysia bagi pelaburan akan datang, ujar Fahmi.
DAMAC Group merupakan syarikat yang mengfokuskan kepada perlaburan dalam ekuiti persendirian, penggabungan dan pengambilalihan serta pemegang saham utama dan minoriti dalam syarikat senaraian awam seperti hartanah, fesyen mewah, pembuatan dan hospitaliti.
Kumpulan itu mempunyai pelaburan yang besar dalam pengurus dana terkemuka di Amerika Syarikat (AS) seperti Vista, Silverlake, Starwood, Founders Fund,Andreessen Horowitz, Thoma Bravo, Warburg, Brookfield dan Pincus.
Hari ini, operasi DAMAC Group di seluruh dunia merentasi Asia, Eropah, Asia Barat, Amerika Utara dan Afrika. DAMAC Group dibina di Dubai pada tahun 1982 dan memiliki hasil global bernilai 1.66 bilion USD setakat 2022.
Fahmi berada di UAE sempena lawatan rasmi selama empat hari bersempena dengan pameran Gulf Information Technology Exhibition (GITEX) Global 2023 dan Expand North Star (ENS) di Dubai.
GITEX Global Edisi ke-43 yang berlangsung dari 16 hingga 20 Oktober di Dubai World Trade Centre dihadiri lebih 6,000 syarikat dari 170 negara manakala ENS diadakan dari 15 hingga 18 Oktober di Dubai Harbour. – Bernama