Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan dan rakyat Malaysia yang waras tidak mungkin sama sekali akan meluahkan rasa simpati terhadap Israel, kata Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.

Mohamed Nazri berkata demikian apabila dihubungi oleh Jabatan Negara Amerika Syarikat menyuarakan rasa kurang senang Washington mengenai kenyataan Malaysia yang lantang terhadap Israel.

Menjawab pertanyaan pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai adakah mungkin Malaysia akan menzahirkan rasa simpati terhadap nasib rakyat Israel, namun Mohamed Nazri menegaskan bahawa simpati Malaysia hanya kepada Palestin.

“Negara-negara kuasa besar tidak pernah menyatakan rasa simpati terhadap nasib kanak-kanak dan warga tua Palestin yang berpuluh tahun menderita akibat tindakan tidak berperikemanusiaan Israel.

“Mana mungkin Malaysia akan memberikan simpati kepada pihak yang bertindak tanpa perikemanusiaan seperti rejim Israel,” katanya.

Sokongan tidak berbelah bahagi oleh Malaysia terhadap Hamas juga dipertikai oleh pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat.

Dia juga menegaskan bahawa sokongan Malaysia kepada Hamas tidak perlu dipertikaikan kerana menghormati pilihan rakyat Palestin di Gaza yang menyokong Hamas sebagai pemerintah mereka.

“Tidak ada sebab untuk Malaysia tidak bersama dengan rakyat Palestin dalam usaha mereka menuntut hak yang telah dirampas Israel.

“Malaysia juga tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan mana-mana pihak atas sokongan yang diberikan kepada Hamas dan Palestin,” katanya.

Selain itu, dia juga memberitahu pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Malaysia akan sentiasa bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka di Gaza dan Tebing Barat.

“Hanya mereka yang mengalami masalah mental sahaja akan menyokong apa yang dilakukan oleh rejim Israel terhadap rakyat Palestin.

“Israel tidak perlu play victim dalam perkara ini kerana tindakan mereka selama ini jauh lebih ganas dan tidak berperikemanusiaan,” katanya.

Dalam apa jua situasi, pihak Israel perlu menghentikan pengeboman di Gaza dan memberi laluan kepada penubuhan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir, ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa kedutaan Malaysia tidak bersetuju dengan cara Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir ketika cuba menghubungi setiausaha Amerika Syarikat, Anthony J. Blinken yang memberi pelbagai alasan yang didakwa sangat lemah. Tindakan Amerika Syarikat dilihat seperti cuba memperkecilkan Malaysia.