Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Semua universiti tidak boleh menafikan kemasukan pelajar miskin hanya kerana mereka tidak mampu membayar yuran pendaftaran pengajian.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, arahan itu pertama kali dikeluarkan dalam sejarah negara bagi memastikan mereka tidak dihalang melapor diri hanya kerana masalah kewangan.

Saya beri arahan supaya tiada universiti yang boleh tolak pelajar miskin, mesti daftar dan bagi nama pelajar itu kepada kementerian atau jabatan berkaitan untuk diselesaikan,” katanya ketika berucap dalam Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan bersama Perdana Menteri, di sini, pagi ini.

Jelas Anwar, inisiatif itu turut diumumkan menerusi Belanjawan 2024 berhubung yuran pendaftaran masuk ke universiti awam (UA) yang dihadkan maksimum RM1,500 bermula Januari tahun depan.

Beliau kesal apabila dimaklumkan ada beberapa keluarga termasuk dua dari Tambun terpaksa menolak pelawaan untuk anak mereka ke menara gading hanya disebabkan kekangan kewangan.

“Kita beri pinjaman PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) RM1,500 tapi ada yuran universiti lain mencecah RM1,800 sehingga beberapa keluarga terpaksa tolak pelawaan ke universiti kerana tidak mampu,” ujarnya.

Menerusi Belanjawan 2024, penyelarasan yuran universiti itu agar selari dengan nilai pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) oleh PTPTN berjumlah RM1,500 kepada semua pelajar yang layak.

Beliau berkata, langkah itu kerana beliau sama sekali tidak akan mengizinkan, mahasiswa khususnya daripada keluarga susah yang mendapat tempat di universiti awam dihalang atau dinafikan haknya daripada mendaftar hanya kerana tidak mampu melunaskan bayaran yuran kemasukan pengajian. -Media Perpaduan