Menteri Belia Dan Sukan YB Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Belia Dan Sukan YB Adam Adli Abd Halim hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk upacara pelepasan Kontinjen Malaysia ke Sukan Para Asia Keempat Hangzhou 2022 malam tadi.
Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Belia Dan Sukan YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ybrs. Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan Tuan Hj Abdullah Hasan, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, Ybrs. En Suhardi Alias Persuruhjaya Sukan Malaysia, Ybrs. Tuan Hj Abdul Rashid Yakob Pemangku Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara.
Kontinjen Malaysia akan menyertai 14 jenis sukan melibatkan 176 orang atlet dan pegawai yang akan bermula pada 22 Oktober hingga 28 Oktober 2023 di Hangzhou China.
Dalam ucapan, Hannah Yeoh mengingatkan kepada 54 orang atlet yang membuat kemunculan pertama supaya tidak gentar kerana mereka juga setanding dengan pencabar-pencabar lain.
Hannah juga berkata, fokus pada diri sendiri, kemampuan dan jangan terlalu fikir kepada sasaran pingat.
Hannah juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dan juga kepada keluarga yang hadir untuk sama-sama menghantar anak-anak mereka di KLIA malam tadi.
Akhir ucapan Hannah sekali lagi memberikan kata-kata semangat buat semua atlet para yang terlibat. – Media Perpaduan