Sorting by

×

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan untuk meneliti dan mempercepatkan masalah tandas di sekolah demi kesejahteraan pelajar.

Dalam catatan di Facebooknya, Anwar berkongsi sepucuk surat daripada seorang pelajar yang memperkenalkan dirinya sebagai Maryam berusia sembilan tahun.

Dalam surat yang dihantar kepada Anwar itu, Maryam mengadu mengenai keadaan tandas di sekolahnya yang kotor, sekali gus tidak mengikut saranan kerajaan untuk menjaga kebersihan kemudahan itu.

Maryam yang merujuk Anwar sebagai Uncle Anwar itu berkata, selain keadaan tandas di sekolahnya yang kotor, terdapat juga beberapa bahagian silingnya yang sudah hilang.

“Tolong melawat tandas sekolah saya dan melihat keadaannya.

“Saya juga banyak melihat gambar tandas sekolah yang sudah diubah suai dan keadaannya sangat cantik, namun tandas sekolah saya tidak seperti itu,” katanya.

Sebelum ini, Anwar ketika membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan ‘Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat’ pada Jumaat lalu, dilaporkan berkata projek pembaikan tandas di 8,354 sekolah hampir siap sepenuhnya pada tahun ini.

Dalam pembentangan itu, Anwar berkata, tidak boleh diterima akal bahawa selama ini anak-anak dibiarkan mengharungi alam persekolahan dengan kemudahan asas khususnya tandas yang rosak dan uzur.

Beliau turut menambah, untuk tahun hadapan sebanyak RM150 juta disediakan bagi menyelenggara dan membaiki tandas awam di 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara. -Berita Harian