Konvoi bantuan kemanusiaan terkandas berhampiran sempadan Mesir dengan Semenanjung Gaza hari ini kerana tidak dapat memasuki kawasan Palestin, kata saksi kepada AFP.
Lintasan Rafah adalah satu-satunya laluan masuk dan keluar dari Semenanjung Gaza yang tidak dikawal oleh Israel, namun ditutup sejak Selasa lalu selepas tiga insiden serangan udara Israel di pos sempadan Palestin dalam tempoh 24 jam.
Semalam, seorang pegawai Amerika mengesahkan kepada AFP bahawa Mesir dan Israel sudah mencapai persetujuan untuk membenarkan rakyatnya meninggalkan Gaza melalui Rafah.
Bagaimanapun, Mesir mengenakan syarat ke atas perjanjian itu.
Pegawai menolak bahawa lintasan itu ditetapkan bagi orang asing sahaja untuk menyeberang,” menurut saluran berita Mesir Al-Qahera News, yang mempunyai hubungan dengan agensi perisikan Mesir.
Laporan itu memaklumkan, pendirian Mesir adalah jelas bahawa bantuan perlu tiba di Gaza terutamanya ketika kebimbangan semakin memuncak mengenai kekurangan bekalan penting di wilayah yang disekat.
Hari ini, saksi berkata blok konkrit yang dipasang oleh orang Mesir untuk mengukuhkan sempadan berikutan pengeboman Israel masih ada, menunjukkan bahawa tiada laluan sedang dipertimbangkan dalam masa terdekat.
Setakat ini sudah ada penghantaran bantuan dari Jordan, Turkiye dan Emiriah Arab Bersatu telah tiba di lapangan terbang El Arish iaitu 50 kilometer dari barat Rafah bersama bekalan perubatan yang mencukupi dibekalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk memenuhi keperluan 300,000 orang.
Mesir sendiri sudah menghantar konvoi 100 trak pengangkut yang membawa 1,000 tan bantuan.
Israel, yang mengawal dua lagi titik lintasan ke Gaza, mengisytiharkan pengepungan sepenuhnya pantai Palestin, memotong bekalan makanan, air, bahan api dan elektrik kepada 2.4 juta penduduk di wilayah itu.
Menteri tenaga Israel, Yisrael Katz pada Jumaat lalu mempersoalkan mengenai bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
“Tiada suis elektrik akan dihidupkan, paip air tidak akan dibuka dan lori minyak tidak akan masuk sehingga mangsa culik Israel pulang ke rumah,” katanya.
Gaza berada di bawah sekatan bersama Israel-Mesir sejak Hamas merampas kawalan pada 2007.
Pada tahun 2008, ribuan rakyat Palestin melarikan diri dari pengeboman Israel memaksa mereka melintasi sempadan Mesir dengan jentolak.
Jumaat lalu, Israel mengarahkan penduduk awam di utara Semenanjung Gaza, berjumlah kira-kira 1.1 juta, bergerak ke selatan bagi membuka jalan untuk pencerobohan darat yang dijangkakan sebagai tindakan balas terhadap serangan Hamas pada 7 Oktober lalu ke atas Israel selatan. – AFP