Menteri Komunikasi Dan Digital, YB Fahmi Fadzil tiba di Dubai semalam dalam rangka lawatan rasmi 4 hari bagi menghadiri Gulf Information Technology Exhibition (Gitex) Global 2023 dan Expand North Star (ENS).
Beliau memulakan lawatan bertemu dengan Duta Besar Malaysia ke UAE, TYT Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, Pesuruhjaya Perdagangan Malaysia di Dubai, Megat Iskandar Dassilah serta delegasi daripada MCMC, MIDA dan syarikat-syarikat Malaysia.
Fahmi akan memulakan program pertama di Dubai dengan menyertai sesi meja bulat bersama-sama wakil perniagaan dan pelabur berpotensi dari wilayah Komanwel Negara-negara Merdeka (CIS).
Ini disusuli dengan kunjungan hormat kepada Menteri Kecerdasan Buatan, Ekonomi Digital dan Aplikasi Kerja Jarak Jauh UAE Omar Sultan Al Olama dan sesi libat urus dengan diaspora Malaysia di Dubai.
Beliau juga dijadualkan menyertai perbincangan panel di GITEX untuk berkongsi pengalaman Malaysia dalam melaksanakan rangkaian 5G dengan syarikat selain turut diundang sebagai penceramah VIP pada sesi “Mewujudkan Dasar Telekom Generasi Akan Datang: Pengharmonian Spektrum Global Untuk Jalur Pertengahan 5G” di GITEX Global 2023.
Seterusnya, beliau dijadualkan menghadiri mesyuarat dua hala dengan Menteri Sementara Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi Pakistan Dr Umar Saif.
Delegasi Malaysia daripada Kementerian Komunikasi dan Digital dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Disrupt X yang beribu pejabat di UAE dan Enviro Group Asia Malaysia berhubung perkongsian dari segi Internet Pelbagai Benda (IoT) dan teknologi digital bagi rantau Asean dan Oceania.
Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, berkata objektif misi utama ke Dubai antara lainnya adalah untuk mewujudkan hubungan lebih kukuh dengan pihak berkepentingan global ekonomi digital khususnya dari UAE, menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan baharu dan penyepadu sistem teknologi digital dan kewangan; mengenal pasti peluang strategik bagi mempromosikan syarikat portfolio di UAE dan menarik pelaburan digital ke Malaysia.
“Kami juga sedang mengenal pasti beberapa pasaran, selaras dengan inisiatif digital Malaysia. Kami turut membawa syarikat Malaysia ke pasaran yang berbeza di seluruh dunia.
“Kami menjangka menyumbang nilai yang besar dalam pelaburan digital langsung asing ke Malaysia dan jumlah hasil eksport yang signifikan bagi 12 syarikat teknologi Malaysia yang menyertai ENS dan GITEX, disokong oleh MDEC,” katanya kepada BERNAMA.
Mahadhir berkata, misi perniagaan itu menawarkan saluran baharu kepada syarikat teknologi Malaysia untuk memperkukuh perkongsian, pemahaman yang lebih jelas dalam aspek ekosistem sokongan perniagaan MDEC di UAE dan peluang untuk meneroka prospek perniagaan di Timur Tengah dengan menjadikan Dubai sebagai hab.
GITEX Global yang memasuki edisi ke-43 akan dihadiri lebih 6,000 syarikat daripada 170 negara bermula 16 hingga 20 Oktober di Pusat Dagangan Dunia Dubai, manakala ENS diadakan mulai 15 hingga 18 Oktober di Dubai Harbour.