Barisan Nasional (BN) yang membentuk sebahagian Kerajaan Perpaduan mahu PAS berubah sikap jika mahu diterima menganggotai Kerajaan Persekutuan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mengakui jemu dengan sikap PAS yang tidak setia dengan BN apabila begitu mudah ‘jatuh cinta’ lalu ‘berkahwin’ dengan parti lain.
Beliau mendakwa sikap PAS yang cenderung bekerjasama secara ‘perkahwinan muta’ah’ atau kontrak membuatkan parti itu sewenang-wenangnya meninggalkan BN khasnya UMNO yang sebelum ini pernah membentuk kerjasama menerusi pembentukan Muafakat Nasional (MN).
“Kita lebih awal bekerjasama dengan PAS. Itu sebab kita wujudkan permuafakatan dengan PAS. Kita telah ada piagam Muafakat Nasional. Yang tidak mahu adalah PAS dalam perkara ini. Bukan soal tidak mahu saja, dalam baiah, dalam perjanjian ada.
“Tetapi bila ada ‘isteri politik’ baharu mereka cari isteri politik baharu lalu tinggalkan yang lama kerana mereka ini percaya kepada perkahwinan muta’ah politik. Ia (perkahwinan) kontrak. (Jika) Tak suka buang.
“Mereka fikir sudah lima enam kali tahu kahwin muta’ah politik ini. Siapa yang lebih baik dalam perkara ini? Apa pun, PAS harus berubah dahulu sikapnya. Kalau berkahwin politik (sebanyak) lima enam kali (tetapi) akhirnya orang yang dikahwini pun ‘fed up’ (jemu) dengannya (PAS),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas sesi wawancara Belanjawan 2024 pada program Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah menjemput PAS untuk menyertai Kerajaan Perpaduan pada tahun lalu.
Ketika ditemubual Time Magazine yang disiarkan secara talian Rabu lalu, Perdana Menteri berkata, PAS sebaliknya menolak tawarannya ketika itu untuk menyertai Kerajaan Persekutuan.
Namun begitu, Anwar memberi ‘jaminan’ tidak akan menghalang kerjasama dengan PAS jika ia wujud pada masa akan datang.
Dalam temubual itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata pihaknya turut menetapkan syarat kepada PAS jika mahu menyertai Kerajaan Persekutuan.
Anwar berkata syarat yang menjadi dasar itu ialah PAS perlu menerima Malaysia sebuah negara berbilang agama dan setiap rakyat mempunyai tempat, meskipun Islam adalah agama Persekutuan.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Tambun itu berkata tiada penolakan jelas atau maklum balas positif dari PAS berhubung syarat itu sambil memberi gambaran pintu untuk parti berkenaan menyertai Kerajaan Perpaduan belum ditutup. Sumber: Berita Harian