Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Komunikasi dan Digital terima RM2.8 billion dalam belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen semalam.

Peruntukkan ini melibatkan pemerkasaan lima teras utama iaitu digital, ekonomi digital, keselamatan siber, pemasaran maklumat kenegaraan dan kreatif tempatan.

Dalam kenyataan media yang dikeluarkan oleh Kementerian Komunikasi Dan Digital hari ini, KKD memaklumkan kerajaan dekad untuk memacu ekonomi digital dengan peruntukkan sebanyak RM100 juta bagi penyediaan geran pendigitalan sehingga RM5,000 dan lebih 20,000 usahawan bakal mendapat manfaatnya.

Sebanyak RM40 juta disediakan untuk Shop Malaysia Online sebagai galakan kepada peniaga kecil terutama bidang makanan untuk berniaga dari rumah.

Sejumlah RM25 juta pula diperuntukkan bagi memperkasakan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) disetiap Dewan Undangan Negeri (Dun) bagi menyokong pengusaha kecil untuk memasarkan dan menjual hasil produk ke dalam talian.

Kerajaan juga menghargai bakat-bakat kreatif dengan memberikan peruntukkan sebanyak RM160 juta untuk menggalakkan penghasilan lebih banyak karya seni di Malaysia.

RM60 juta disalurkan untuk Dana Kandungan Digital (DKD) dibawah seliaan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) untuk menghasilkan karya seni yang berunsurkan kenegaraan.

Sebanyak RM90 juta pula disalurkan untuk memastikan industri perfileman negara mampu bersaing diperingkat antarabangsa dibawah Film In Malaysia Incentive (Fimi).

Seterusnya melalui Skim Dana Padanan MyCreative RM10 juta diperuntukkan bagi menyokong anak-anak seni untuk menghasilkan projek kreatif.

Pada masa yang sama kerajaan setuju untuk memberikan pengecualian duti hiburan kepada kepada artis tempatan serta pengurangan 10 peratus duti hiburan kepada artis antarabangsa serta hiburan lain seperti tayangan filem.

KKD juga menyambut baik pengumuman kerajaan dalam mengalakkan syarikat produksi luar untuk menjalankan penggambaran di Malaysia dengan cadangan penetapan kadar cukai pendapatan khas antara 0 hingga 10 peratus kepada syarikat produksi filem, krew dan pelakon asing yang menjalankan penggambaran di Malaysia.

CyberSecurity Malaysia juga menerima RM60 juta untuk membangunkan Rangka Kerja Pengujian Keselamatan Cyber 5G serta kepakaran tempatan terhadap teknologi 5G.

KKD juga mengalu-alukan usaha kerajaan untuk mengekalkan cukai perkhidmatan telekomunikasi sebanyak enam peratus bagi menggalakan syarikat atau studio permainan video antarabangsa melabur di Malaysia.

KKD yakin Belanjawan 2024 ini mampu merealisasikan aspirasi Kerajaan Perpaduan untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat, katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan. – Media Perpaduan