KERAJAAN Perpaduan bersetuju memberikan sebanyak RM2,000 sebagai Bayaran Insentif Awal Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia termasuk lantikan kontrak dan RM1,000 diberikan kepada semua Jawatan Utama Sektor Awam melibatkan semua termasuk polis, bomba, tentera, angkatan bersenjata dan seluruh anggota beruniform.
”Bayaran Insentif RM1,000 turut dipanjangkan kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta veteran tidak berpencen.
”Bayaran ini akan dibuat secara sekali gus pada akhir Februari 2024 bagi meringankan beban persediaan persekolahan anak-anak serta persiapan menjelang bulan Ramadan dan Syawal,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan rakyat, hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kesemua bayaran itu diberikan sementara menunggu kajian SSPA yang dijangka dimuktamadkan penghujung tahun hadapan.
”Kerajaan sedang menyemak semula skim gaji dan elaun tetap penjawat awam yang kali terakhir dilaksanakan pada tahun 2012.
”Kajian SSPA ini akan meneliti keperluan semua skim perkhidmatan dan dijangka akan dimuktamadkan pada penghujung tahun hadapan,” katanya. -Media Perpaduan