Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

AMAN Palestin Berhad mengakui sebahagian besar keluarga kakitangannya terbunuh dalam serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak Sabtu lalu.

Pengurus Besar Pemasaran Aman Palestin Berhad, Muhd Farhan Muhd Fadhil berkata, bagaimanapun semua tujuh kakitangan mereka yang juga rakyat tempatan selamat.

“Setakat ini, kita sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku di sana dari semasa ke semasa,” katanya kepada dipetik BH, semalam.

Dalam masa sama Muhd Farhan turut mengesahkan projek pembangunan hasil sumbangan rakyat Malaysia di Gaza setakat ini tiada yang terjejas.

Jelasnya, ia termasuk projek pembinaan Masjid Imam As-Syafie, Masjid Al-Qassam, Masjid Syeikh Ajlin dan Hospital Aman Palestin serta Hospital Al-Razi.

“Setakat ini, Alhamdulillah projek besar yang sedang dijalankan semua tidak musnah dan berada dalam keadaan yang baik. Ini termasuk sektor perubatan yang sidang dibina,” katanya.

Muhd Farhan berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu telah menghantar bantuan kecemasan awal sebanyak RM470,000 di Gaza, kelmarin.

Menurutnya, bantuan itu adalah untuk dua kumpulan sasaran iaitu mangsa yang cedera akibat serangan dan sedang dirawat di Hospital Al-Shifa dan Hospital Indonesia.

Antara bantuan yang diberikan adalah rawatan klinikal, anggota palsu, baju sejuk dan kerusi roda.

“Kumpulan sasaran kedua pula adalah mangsa yang hilang tempat tinggal. Berdasarkan maklumat yang diterima terdapat seramai 187, 500 hilang tempat tinggal.

“Mereka kini ditempatkan di 64 sekolah di bawah pertubuhan antarabangsa sebagai pusat penempatan sementara. Mereka dibantu dari segi pemberian tilam, selimut, makanan panas dan baju sejuk,” katanya.

Muhd Farhan berkata, bantuan kecemasan awal yang diberikan secara berfasa itu, sudah memanfaatkan seramai hampir 8,000 orang. -Media Perpaduan