Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan menafikan kenyataan bekas Ahli Parlimen Serdang Prof Dr Ong Kian Ming yang mendakwa kerajaan memberikan secara rundingan terus kontrak rangkaian 5G kedua kepada syarikat telekomunikasi dari China, Huawei.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, setakat ini juga belum ada sebarang bidaan dibuka untuk projek berkenaan.

“Pada waktu ini belum ada apa-apa (bidaan). Mungkin Kian Ming terlalu ke hadapan. Kita masih di tahun 2023 dan dia di tahun 2024,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Sambutan Hari Pos Sedunia 2023 di Ibu Pejabat Pos Malaysia di Kompleks Dayabumi di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer.

Fahmi berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan Kian Ming yang mempersoalkan langkah kerajaan memberikan kontrak rangkaian 5G kedua kepada Huawei secara rundingan terus.

Kian Ming dikatakan terkejut kerana pemberian kontrak itu sepatutnya dilakukan melalui tender terbuka bukan secara rundingan terus dengan mana-mana entiti tunggal.

Malah dakwanya, antara perkara pertama dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dilantik memegang jawatan itu adalah mengarahkan siasatan penuh mengenai kontrak rangkaian 5G sedia ada yang diberikan kepada Ericsson melalui Digital Nasional Bhd (DNB).

Kian Ming turut berkata, walaupun penyiasatan lanjut mendapati kontrak berkenaan diberikan secara telus, reputasi kerajaan akan tercalar jika tiada sebarang tender atau proses perolehan yang telus dibuat bagi melaksanakan rangkaian 5G dwitunggal.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata, kenyataan Perdana Menteri yang kerajaan membenarkan Huawei memecahkan monopoli DNB milik kerajaan terhadap rangkaian 5G hanya sebagai konteks mengenai majlis penutup Sidang Kemuncak Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Malaysia 2023 sahaja.

Katanya, jika ada mana-mana pihak yang hendak membuat bidaan, pihaknya tiada masalah untuk memberi ruang.

“Ia adalah aspek komersial dan sama seperti yang dilalui DNB. Ia bergantung kepada apabila kita wujudkan entiti atau rangkaian kedua 5G dan semestinya Ahli Lembaga Pengarah akan buat keputusan yang bersifat komersial.

“Oleh itu ia bergantung kepada siapa yang tawarkan harga paling murah dan akan dikira sebagai pemenang,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, pihaknya sedang meneliti beberapa perkara dalam usaha membantu industri pos di negara ini dengan lebih menyeluruh.

Katanya, ketika ini ada beberapa perkara masih sedang diteliti antara Pos Malaysia dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Kami ada terima aduan sebagai contoh bukan hanya dari Pos Malaysia tetapi syarikat kurier lain berkenaan isu masking (penjual tiada pilihan untuk penghantaran) yang dilakukan oleh beberapa platform jualan dalam talian.

“Perkara ini dalam perhatian pihak kementerian dan SKMM saya percaya sedikit masa lagi diperlukan untuk kita pastikan penyelesaian yang ingin kita capai adalah dalam bentuk situasi menang-menang,” katanya.

Selain itu katanya, isu yang turut dibangkitkan oleh pelbagai pihak adalah harga asas untuk mengekalkan industri kurier yang kini dalam perbincangan di peringkat akhir.

“Saya percaya bila tiba masa pihak SKMM akan buat pengumuman tentang perkara itu.

“Sebelum ini kita tidak menetapkan satu had tetapi lebih kepada garis panduan. Jadi sama ada kita akan terus bagi garis panduan atau tegas daripada itu bergantung kepada proses dan perbincangan yang sekarang ini di peringkat akhir,” katanya.

Sumber: Harian Metro