Sorting by

×

ASET Lembaga Tabung Haji (TH) yang dipindahkan kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) pada 2018 ketika di bawah Menteri Kewangan, Lim Guan Eng akan dikembalikan semula.

Perkara itu dimaklum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berkata, kerajaan akan memulakan perbincangan untuk menyerahkan semula aset tersebut kepada TH.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas Kementerian Kewangan (MOF) yang dipegang olehnya berpuas hati dengan prestasi kewangan TH yang terus memulih.

Beliau juga berpuas hati dengan masalah pengurusan dan tata kelola TH selepas bergelut dengan isu kepincangan yang bermula sejak 2015.

Anwar berkata, penyerahan semula aset itu membuktikan dakwaan pihak tertentu kononnya aset TH yang diletakkan dipindahkan kepada SPV sudah diserah kepada pemilikan bukan Islam adalah tidak benar sama sekali.

“Selepas meneliti, saya sudah beritahu daripada awal sejak ambil jawatan ini, sebaik sahaja TH diurus dengan baik dan meyakinkan, maka MOF akan memulakan perbincangan menyerahkan semula aset yang kini diamanahkan kepada SPV.

“Ini juga untuk mematikan fitnah kepada Menteri Kewangan ketika itu kononnya sudah memindahkan aset ini kepada bukan Islam,” katanya pada majlis sambutan ulang tahun ke-60 Lembaga Tabung Haji (TH) di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar dan Pengerusi Lembaga TH, Tan Sri Azman Mokhtar.

Pada Disember 2018, MOF memindahkan aset TH yang tidak menguntungkan kira-kira RM19.9 bilion kepada SPV sebagai langkah untuk memantapkan kedudukan kewangannya.

Aset yang dipindahkan itu merangkumi hartanah dan ekuiti manakala SPV itu akan dimiliki oleh MOF.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau sudah mengarahkan MOF untuk berbincang dengan pihak yang berkenaan supaya pemindahan aset tersebut dapat dilaksanakan.

“(Kerajaan akan serah) semua aset. Kita dah mula dan arah berbincang, mungkin diambil secara berperingkat untuk pastikan pemulangannya itu baik.

“Tetapi ia sendirinya menjawab segala tohmahan dan fitnah sebelum ini bertahun-tahun dan berbakul-bakul fitnah mengatakan ia dijual.

“Ia tidak dijual, masih kekal dan sebagai satu amanah, sekarang (MOF) sedang berunding dari segi kos dan tanggungan semuanya,” katanya.

Ditanya mengenai nilai semasa aset yang akan diserahkan, Perdana Menteri berkata, angkanya tidak boleh diumumkan lagi setakat ini. -Media Perpaduan