PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam mencontohi keperibadian akhlak Rasulullah SAW.
Dalam ucapan perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul 1445 hijrah, Perdana Menteri berkata, perjuangan Rasulullah dalam berdakwah menyebarkan agama Allah dan menyatukan manusia yang pelbagai kaum perlu dihayati.
“Terbugar rasa kasih dan hormat kepada junjungan Baginda Rasullah SAW tatkala menghimbau detik kelahiran agung tanggal 12 Rabi’ al-Awwal. Berhasil menjadi tauladan buat umat manusia agar tekal menyebarkan risalah tauhid meski diasak musuh sepanjang siang dan malam dari segenap penjuru.
“Maka, keindahan pekerti dan akhlak Rasulullah SAW selaku Uswatun Hasanah, atau contoh terbaik menjadi ikutan. Tidak mencela, apatah lagi memfitnah atau memaki hamun terhadap sesiapa pun. Dakwah Baginda mendobrak asabiyyah dan kejumudan, membimbing umat Madinah yang bhineka menuju cahaya keadilan dan ihsan.
“Menghayati ibrah perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam memimpin dan menyatukan pelbagai kaum tentunya akan membangkitkan rasa keinsafan untuk sama-sama membangunkan negara tercinta ini sebagai sebuah negara yang adil, aman dan sejahtera, lantas beroleh barakah daripada Allah SWT,” katanya.
Moga Allah SWT melimpahkan rahmat dan kesejahteraan yang berterusan buat Baginda Nabi Muhammad SAW. -Media Perpaduan