UMNO menaruh keyakinan pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai akan memilih sekali lagi calon Barisan Nasional (BN) sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 7 Oktober ini.
Pengarah Komunikasi Umno Datuk Seri Lokman Noor Adam berkata, prestasi memberangsangkan yang dipamerkan Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pasti menjadi daya pemikat pengundi di Pelangai.
“Saya yakin rakyat di negeri Pahang, lebih-lebih lagi di bawah pemerintahan Datuk Wan Rosdy, Menteri Besar Pahang jaga orang Pahang dengan baik, dulu pun arwah Datuk Johari jaga orang Pelangai ni dengan cukup baik.
“Insyallah, saya yakin orang Pelangai ni tak akan buat perangai. Mereka akan pastikan calon BN dipilih semula sebagai Adun Pelangai.
“Sekarang ini semakin hari semakin baik, jadi menuju PRU16 saya nampak keputusan pilihan raya jumlah undi orang Melayu yang kita akan perolehi Insyallah ia akan semakin hari semakin baik,” katanya dalam klip video di Facebook.
Mengulas mengenai kerjasama BN dengan Pakatan Harapan (PH) membentuk Kerajaan Perpaduan, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno berkata, perkara itu semakin dapat diterima rakyat terutamanya kepada akar umbi Umno.
Tegasnya, gelombang pembangkang tidak sekuat seperti yang disangkakan dan telah berjaya dipatahkan pada PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada awal bulan ini apabila rakyat telah memilih calon Kerajaan Perpaduan sebagai wakil rakyat mereka.
Jelasnya, rakyat terutamanya orang Melayu semakin menerima kerjasama PH-BN berikutan prinsip Umno yang utuh mempertahankan kepentingan Islam, orang Melayu dan Institusi Diraja.
“Dulu masa Datuk Seri Najib Razak teruk difitnah 2018, Pahang okay lagi. Cuma gelombang pada tahun 2022 Pahang ada sedikit terjejas.
“Tapi selepas kita kerjasama dengan rakan-rakan PH di Pahang, saya rasa kedudukan kita semakin baik, Insyallah.
“Umno kena teruskan perjuangan yang sedia ada. Kita masih lagi sebuah parti yang menjaga kepentingan, Umno lah parti yang menjaga kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, kedudukan hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan,” katanya.
BN mempertaruhkan Datuk Amizar Abu Adam untuk mempertahankan DUN Pelangai yang memiliki 16,456 pengundi berdaftar.
PRK Pelangai akan diadakan ekoran kematian Datuk Johari Harun, 53, akibat nahas pesawat terhempas berhampiran bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada 17 Ogos lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon berlangsung pada Sabtu ini, manakala 3 Oktober sebagai hari undi awal. -Media Perpaduan