Sorting by

×

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan bersetuju meningkat komitmen dalam usaha memerangi isu Islamophobia dan xenophobia (perkauman).

Anwar berkata, kedua-dua negara akan memainkan peranannya dalam menangani dua isu berkenaan.

Jelasnya, dalam menangani isu itu, pusat kegiatan di Turkiye akan memberi fokus di Eropah dan Timur Tengah manakala Malaysia pula di sekitar Asia.

Kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan pertemuan di New York, Amerika Syarikat (US) sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-78, hari ini.

Selain itu, Anwar berkata, kedua-dua negara bersetuju meningkatkan kerjasama dua hala dalam bidang perdagangan dan pelaburan.

Anwar menambah, Turkiye juga bersetuju supaya Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) terus mengendalikan Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul.

“Mereka puas hati dengan kejayaan MAHB pada peringkat pertama, sebab itu mahu sambungan dengan runway (landasan) yang lebih panjang,” katanya dipetik Buletin TV3, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sokongan itu memberi tanda yang cukup besar dan keyakinan kepada syarikat Malaysia untuk membangun dan menguruskan Lapangan Terbang Sabiha.

Beliau berkata, Erdogan juga bersetuju untuk mengunjungi Malaysia secara rasmi pada akhir tahun ini.

Terdahulu, Perdana Menteri dan isteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang menaiki pesawat khas selamat mendarat di Lapangan Terbang Westchester County i kira-kira jam 10.55 pagi Rabu (10.55 malam Rabu waktu Malaysia).

Anwar kemudian bertolak ke hotel penginapan yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan dan akan disambut oleh beberapa menteri kabinet serta pegawai-pegawai kerajaan. -Media Perpaduan