Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KERAJAAN bercadang mempertimbangkan untuk membuka laluan khas ke politeknik dan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) kepada pelajar aliran agama, huffaz dan lepasan Maahad Tahfiz al-Quran.

Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, cadangan itu bakal membuka peluang serta laluan lebih besar kepada pelajar jurusan berkenaan mengikuti pengajian TVET di semua politeknik bawah KPT.

“Ini bermakna, jika sekarang Program Techno Huffaz hanya dilaksanakan secara khusus dan terhad kepada empat program di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah, selepas ini pelajar tahfiz, aliran agama dan lepasan maahad akan mempunyai peluang serta laluan lebih besar dan pelbagai untuk mengikuti pengajian TVET di semua politeknik bawah KPT,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) bagi KPT di Dewan Rakyat, hari ini.

Menjelaskan mengenainya, Khaled berkata, cadangan itu selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) dan prinsip serta aspirasi Malaysia Madani yang mengangkat nilai unggul dalam diri untuk disatukan dengan kemahiran terbaik.

Menurutnya, KPT juga ketika ini sedang merangka pelan transformasi politeknik yang dijangka dilancarkan akhir tahun ini.

Khaled menambah, terdapat peningkatan sebanyak 20% atau 20,520 kemasukan penuntut ke politeknik bagi program TVET tahun ini berbanding 16,962 orang tahun lalu.

Beliau berkata bagi semua program TVET diuruskan KPT, sebanyak 79.6% daripada tempat tersedia telah diisi dengan jumlah enrolmen semasa mencecah 144,816 pelajar secara keseluruhan.

“Sekalipun jumlah kemasukan ke program TVET di KPT adalah baik, KPT akan terus merancakkan usaha untuk memaksimumkan kemasukan sekali gus memenuhi tempat dan kapasiti yang sedia ada.

“Ia merangkumi syarat serta akses kemasukan yang dipermudahkan serta laluan khas kemasukan kepada golongan rentan,” katanya. -Media Perpaduan