Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MIC dan masyarakat India bersetuju untuk menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana janji yang diberikan beliau.

Menurut naib presiden MIC, Datuk M. Asojan, Anwar telah meminta tempoh setahun untuk meneliti isu dan permasalahan kaum tersebut.

“Memang ada rasa tidak puas hati dalam beberapa perkara termasuk isu baru-baru ini, ia memang menjadi keraguan dan kemusykilan dalam kalangan jentera parti, namun Presiden MIC, Tan Sri S.A. Vigneswaran telah beri penerangan agar kita terus menyokong kerajaan perpaduan.

“Ini kerana janji yang diberikan oleh Perdana Menteri sendiri (kepada masyarakat India), beliau pastikan permasalahan dan perkara berbangkit berkaitan masyarakat India akan diambil kira, dia beri kita tempoh setahun jadi kita percaya janji beliau.

“Oleh itu, kita telah mengarahkan jentera MIC melibatkan seramai 3,000 ahli di Parlimen Pulai beri sokongan tidak berbelah-bahagi kepada calon PH dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini,” katanya selepas majlis pertemuan dengan komuniti India di pejabat Persekutuan Persatuan-Persatuan India Berdaftar Negeri Johor (GAPPIN).

Berhubung dengan pilihan raya kecil (PRK) parlimen Pulai, beliau mengakui bilangan pengundi India seramai 20,000 adalah signifikan tetapi enggan mengakui bahawa masyarakat tersebut menjadi faktor penentu sekiranya undi Melayu dan Cina berpecah.

“Kalau nak kata kita ‘king maker’ secara terbuka tidak boleh kerana ini adalah PRK dan keputusan akan bergantung kepada peratusan keluar mengundi. Namun jumlah pengundi India adalah signifikan dan kita akan berusaha memastikan kira-kira 50 peratus pengundi India keluar mengundi pada 9 September ini.

Pengerusi Biro Pendidikan MIC, Senator Datuk R. Nelson pula masyarakat India untuk terus menyokong kerajaan perpaduan dengan mengundi calon Pakatan Harapan, Suhaizan Kaiat dalam PRK ini.

“Kita undi bantu mereka menang, kemudian kita desak dia tunaikan janji-janji sebelum ini, apa yang kaum kita nak,” katanya, laporan Utusan.