Sorting by

×

Pilihan raya kecil (PRK) DUN Simpang Jeram menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang melibatkan calon PH Nazri Abdul Rahman, calon PN Dr Mohd Mazri Yahya dan seorang calon Bebas S Jeganathan.

Perkara itu disahkan Pengurus Pilihan Raya DUN N13 Simpang Jeram, Jamil Hasni Abdullah yang mengumumkan senarai calon pada 10.12 pagi di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor.

Nazri adalah Timbalan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Bakri dan Mohd Mazri, bekas Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor manakala Jeganathan seorang ahli permiagaan.

Borang pencalonan pertama dikemukakan Mazri pada 9.04 pagi, diikuti Nazri pada 9.08 pagi dan Jeganathan pada 9.18 pagi. Tiada pencalonan yang ditolak.

Pertandingan tiga penjuru juga berlaku di kawasan parlimen Pulai yang melibatkan Suhaizan Kaiat dari PH, Zulkifli Jaafar dari PN dan calon Bebas Samsudin Fauzi.

PRK ini diadakan susulan kematian penyandangnya, bekas timbalan pengerusi Amanah, Allahyarham Salahuddin Ayub akibat pendarahan otak pada 23 Julai lalu.