Meskipun Perikatan Nasional (PN) memperoleh majoriti undi keseluruhan di dalam pilihan raya negeri membabitkan enam negeri, seramai 18 calon mereka hilang deposit.
Gerakan menjadi faktor kelemahan pakatan pembangkang apabila hilang deposit di separuh dari keseluruhan 36 kerusi DUN yang mereka tandingi.
Parti tersebut hanya menang satu kerusi di Kulim, malah presidennya Dominic Lau tersungkur di Bayan Lepas. Dalam keadaan ini keberadaan Gerakan di dalam PN perlu diteliti kerana sudah jelas lagi bersuluh Gerakan gagal menarik undi Cina.
Parti MUDA pimpinan Syed Saddiq juga tidak berjaya menembusi waima satu kerusi DUN pun. Calon – calon parti tersebut hilang deposit di 19 DUN, di kesemua DUN yang ditandingi meskipun bekerjasama dengan Parti Sosialis Malaysia.
Satu-satunya impak yang dicetuskan MUDA ialah di Sungai Kandis. Kerajaan Perpaduan menyalahkan MUDA di atas kekalahan calon, Zawawi Mughni. Calon PN Wan Dzahanurin menang dengan majoriti tipis 167 undi.
Seperti yang dijangka PSM hilang deposit di kesemua kerusi yang mereka tandingi. Mereka bertanding empat kerusi di Selangor.
Kesemua calon bebas iaitu seramai 39 orang turut hilang deposit.
Ini memang dijangka kerana sejarah politik Malaysia, terutamanya dalam konteks Semenanjung Malaysia tidak pernah merekodkan kemenangan calon Bebas di dalam pilihan raya negeri.
Parti- parti kecil lain turut hilang deposit. Parti – parti termasuk Parti Rakyat Malaysia pimpinan Ezam Noor. Mereka hilang deposit di 13 kerusi.
Dua parti yang kurang dikenali turut hilang deposit. Parti Barisan Penang (PFP) bertanding dan hilang deposit di dunia kerusi.
Parti Utama Rakyat yang bertanding di satu kerusi DUN Selangor turut hilang deposit.