Firma penyelidikan Ilham Centre meramalkan keputusan pilihan raya negeri di enam negeri akan mengekalkan kerajaan yang sedia ada.
“Selangor dijangka kekal kepada gabungan PH-BN dengan menyaksikan PN melebarkan pengaruh di negeri terkaya di Malaysia ini.
“Negeri Sembilan sukar dicabar apabila dua blok PH dan BN bergabung. Di negeri ini, undi asas BN di kalangan pengundi Melayu terlalu besar. PH pula menguasai kawasan bercampur dan majoriti Cina.
“Pulau Pinang lebih tertumpu di DUN majoriti Melayu. Penaga, Pinang Tunggal, Permatang Berangan dan Sungai Dua – PN berpotensi di sini. Telok Ayer Tawar, Permatang Pasir, Penanti termasuk dalam kategori sengit. Kerusi lain PH dan BN di hadapan.
“Kelantan dan Terengganu berkongsi ciri hampir sama. PAS ternyata selesa dan amat berhati-hati dalam berkempen.
“Kedah berada di kelas tersendiri. Faktor Sanusi sudah memadai menyekat hasrat BN dan PH untuk merampas negeri ini.”
Ramalan tersebut dibuat berdasarkan tiga faktor penentu iaitu peratus keluar mengundi, kebolehpindahan undi PH-BN dan ayunan undi muda.
Peratusan keluar mengundi di dalam pilihan raya negeri biasanya rendah.
“Penyokong PH tidak mempunyai masalah untuk mereka memindahkan undi mereka di DUN yang ditandingi BN.
“Sebaliknya pula berlaku di DUN PH bertanding. Ahli Umno atau penyokong BN kelihatan canggung untuk menyokong PH.”
Menurut Ilham Centre tiada tanda pergerakan sokongan yang signifikan kepada Kerajaan Perpaduan.
Selain itu UMNO juga berdepan masalah mendapatkan undi Melayu.
“Boleh dirumuskan hampir konsensus pandangan ahli Umno akar umbi menyatakan ketidakpuasan hati kepada Presiden UMNO menyebabkan mereka tawar hati untuk mengundi PH-BN. Sebahagian besar agak pasif dan dalam mode tunggu dan lihat.
“Ahli UMNO termasuk jentera mengakui masih sukar untuk menerima PH kerana DAP dan sebahagiannya kerana Anwar.”
“Mengikut data kami, sekitar 27-58 peratus pengundi Umno dalam PRU15 yang berpindah mengundi PN dalam PRN pada 12 Ogos ini.”
Ilham Centre juga mendapati bahawa isu nasional lebih mendominasi kempen pilihan raya berbanding dengan isu negeri.
Pilihan raya negeri akan berlangsung esok di kesemua enam negeri.