Pengerusi parti-parti Kerajaan Perpaduan Kelantan Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata ‘tawaran emas’ dihidangkan meliputi empat teras utama iaitu pengembangan syiar Islam; ekonomi; pendidikan, wanita dan orang muda; dan penubuhan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara.
“Inilah tawaran emas buat rakyat Kelantan,” kata beliau.
Antara tawaran yang turut dibuat adalah penghapusan tunggakan bil Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan penurunan caj permohonan bekalan air domestik.
“Menyedari hakikat masalah air di Kelantan membelenggu rakyat sejak sekian lama, kami akan melipatkangandakan usaha memulih bekalan air pada tahap yang wajar dan memberi kelegaan awal kepada rakyat,” kata Ahmad Jazlan.
Tawaran yang melibatkan urusan tanah meliputi potongan cukai premium dan pecah sempadan sehingga 50 peratus menambah kakitangan di pejabat tanah dan jajahan serta mengkaji semula pemilikan dan pajakan tanah oleh syarikat swasta serta mengembalikan semula kepada rakyat.
BN dan PH juga akan melipatkangandakan usaha memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Kelantan agar mereka dapat berkhidmat di negeri sendiri dan berada dekat dengan keluarga.
“Kita menyasarkan 20,000 peluang pekerjaan pelbagai sektor khusus dalam bidang pembuatan dan teknologi dalam tempoh lima tahun akan datang,” jelas Ahmad Jazlan yang juga pengerusi Umno Kelantan.
“Kita juga tawarkan bantuan RM1,000 kepada ibu bersalin kali pertama, biasiswa tahunan RM300 kepada pelajar tingkatan enam, dan mewujudkan pusat reakrasi, sukan dan e-sukan selain padang bola sepak di setiap jajahan.
“ Akhir sekali kita berhasrat menubuhkan Perbadanan Kemajuan Kelantan Utara (PKKU) bagi membangunkan wilayah Utara Kelantan dalam usaha membasmi kemiskinan dan membangunkan sosioekonomi rakyat,” katanya.